Percubaan Khai Bahar takluk Indonesia


Hampir dua tahun bertapak kukuh dalam industri muzik tempatan, bayangan Khai Bahar, 23, untuk melebarkan sayap ke negara jiran dilihat semakin jelas setelah menerima perkhabaran gembira dari sebuah produksi filem Indonesia.

Bertemu dengan penyanyi kelahiran Kangar, Perlis itu ketika bertandang ke Studio Utusan minggu lalu, Khai mengesahkan bahawa dia bakal menyanyikan lagu runut bunyi bagi sebuah naskhah yang diberi judul Haji Kecil.

Sewaktu mengunjungi republik tersebut bagi mempromosikan kerjaya seninya menerusi sebuah program hiburan terbitan stesen TV negara berkenaan, Khai memberitahu, pihak pengurusannya telah mengadakan satu perbincangan dengan syarikat penerbitan di sana.

“Alhamdulillah, perbincangan tersebut menampakkan maklum balas yang positif walaupun belum lagi ada hitam putihnya.



“Harapannya agar langkah saya untuk memperkenalkan bakat nyanyian di Indonesia dipermudahkan. Walaupun usia saya dalam bidang ini masih terlalu baharu namun saya bersedia untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada,” katanya kepada Mega HITS.

Menurut Khai yang sedang popular menerusi lagu Luluh itu, dia dijangka akan menyanyikan dua buah karya yang menjadi lagu latar filem tersebut. Kedua-dua lagu yang bertajuk Doa Dan Harapan serta Doa Yang Dijabah itu adalah hasil nukilan komposer Indonesia, Rara Tarmizi.

“Buat masa ini, hanya satu lagu yang telah disahkan bakal dirakam terlebih dahulu. Cuma belum tahu lagi sama ada proses rakaman akan dilakukan di sini atau di sana.

“Meskipun baru saja dipersetujui secara lisan, berita ini adalah sesuatu yang mengujakan. Sekurang-kurangnya ada harapan. Ini merupakan langkah awal untuk saya berjinak-jinak menembusi pasaran muzik seberang yang telah lama diidamkan,” tambahnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post