Nafas kesederhanaan Cristina Suzanne


Kelibatnya agak jarang muncul dalam mana-mana drama mahupun filem. Bahkan, hanya sekali-sekala sahaja wajah Cristina Suzanne terpampang di kaca televisyen atau layar lebar.

Bukan tidak memiliki populariti mahupun bakat, ironinya pemilik nama sebenar, Cristina Suzanne Stockstill itu dikenali sebagai antara pelakon wanita berbakat besar tanah air.

Begitupun, bintang KIL itu mempunyai alasan tersendiri tentang pilihannya menjalani kehidupan di bawah radar populariti. Pelakon yang memilki rupa paras menarik itu lebih selesa meluangkan masa di rumah keluarganya di Kuantan, Pahang.

Bukan tidak ada tawaran mahupun terlalu bersikap selektif tetapi seboleh-bolehnya, dia tidak mahu memaksa badan mengerah keringat dengan bekerja tanpa henti.

Akui pelakon berusia 33 tahun itu, dia lebih selesa menghabiskan masa bersama keluarga, selain membantu ibunya menguruskan perniagaan katering.

“Tawaran berlakon tetap ada, cuma pada masa sama saya ada kerja lain untuk dilakukan di kampung halaman. Kerja berlakon bukan semudah yang disangka dan ia sangat memenatkan. Jadi, saya mengambil peluang untuk merehatkan badan dengan pulang ke kampung, sekali gus dapat menghabiskan masa bersama keluarga.

“Cukuplah sekadar bayaran yang saya dapat hasil lakonan itu boleh membayar segala bil rumah, kereta dan lain-lain keperluan, bukannya untuk mengekalkan gaya hidup mewah,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Dia tidak mahu kelihatan seperti orang kaya pada luaran tetapi hakikatnya biasa-biasa sahaja.

Katanya, selagi dapat menjalani kehidupan dengan baik, ia sudah memadai. Mengakui dirinya seorang yang gemar bersantai di rumah, Cristina menjadikan peluang tersebut sebaik mungkin kerana tidak dapat menjangka dapat ruang untuk bersama keluarga pada hari mendatang.

“Seronok sebenarnya duduk bersama keluarga, malah suasana sangat mendamaikan apabila berada di kampung halaman. Kedua-dua kakak dan adik saya juga menetap di kampung membuatkan saya rasa lengkap sebagai sebuah keluarga.

“Kalau duduk jauh, rasa rindu pula. Esok lusa pun kita tidak tahu apa akan berlaku, jadi saya menggunakan peluang sekarang sebaik mungkin,” tuturnya.



Privasi

Disebabkan banyak menghabiskan masa di Kuantan dan hanya akan berada di ibu kota jika ada urusan kerja, Cristina selesa menjalani kehidupan sederhana.

Tidak mahu terkena stereotaip insan seni yang perlu kelihatan mewah dan sentiasa ada dalam radar industri untuk kekal popular, Cristina berfikiran sebaliknya.

Biarpun kerjaya pelakon membuatkan anak seni sentiasa menjadi tatapan umum tetapi pada dasarnya, mereka tetap mempunyai hak untuk diberi ruang privasi.

Tidak perlu mengemas kini aktiviti harian 24 jam sehari, pemenang Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi penglibatannya dalam filem KIL pada Anugerah Skrin 2013 itu meletakkan batasan untuk berkongsi sebarang perihal diri terutama peribadi serta masa berkualiti bersama keluarga.

“Saya memang seorang yang minimalis. Kalau tengok di media sosial, saya tidak begitu aktif berbanding orang lain. Ia merupakan medan saya berkongsi perihal kerjaya.

“Tidak perlu untuk berkongsi semua perkara. Saya belajar daripada kisah sekeliling. Kalau berlaku apa-apa yang datangnya daripada tangan sendiri, kita tidak boleh salahkan sesiapa, lebih-lebih lagi sikap masyarakat yang gemar menjatuhkan hukuman sesuka hati. Jadi, lebih baik hadkan keterbukaan,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu bersahaja.



Selesa solo

Bergelar wanita solo pada usia 30-an pastinya membuatkan Cristina tidak terlepas daripada persoalan jodoh.

Hanya melemparkan senyuman manis tatkala disuakan persoalan tentang pemilik hati, wanita kacukan Melayu-Jerman itu mengakui masih solo dan lebih selesa hidup sendiri. Soal jodoh, dia hanya menyerahkan kepada aturan Tuhan dan sama sekali tidak pernah berasa trauma dengan kisah lama hidupnya sebelum ini yang pernah putus tunang.

“Saya tidak trauma memandangkan sudah melupakan perkara tersebut, malah telah belajar daripada kesilapan. Ia membuatkan saya sedar tentang banyak perkara dalam hidup.

“Lama-kelamaan, saya rasa hidup seorang lagi seronok. Keluarga juga tidak pernah mendesak atau bertanya, bila mahu berkahwin. Tiada sesiapa mendekati saya kalau diri sendiri pun asyik terperuk dalam rumah sahaja,” selorohnya.

Menyentuh perkembangan terkini, aktres filem Jwanita itu bakal muncul dengan sebuah naskhah terbaharu berjudul Surf This Love pada bulan Februari ini.

Filem tersebut turut dibintangi Shukri Yahaya, Pekin Ibrahim, Josiah Hogan, Ardell Aryana dan Dottie.

Dalam naskhah arahan Waan Hafiz itu, Cristina memegang watak sebagai Mya yang merupakan seorang wartawan travelog.

“Salah satu sebab saya terima tawaran berlakon filem ini kerana ada rakan-rakan pelakon seperti Pekin Ibrahim dan Josiah Hogan. Kalau bekerja dengan kawan-kawan, salah satu keseronokannya adalah kita tidak tertekan,” ujarnya.

Tidak banyak cabaran yang ditempuhi untuk filem tersebut memandangkan dia tidak terlibat dalam babak aksi seperti meluncur.

“Cabaran buat saya adalah apabila kena berlakon di tempat orang lebih-lebih lagi di kawasan hutan. Justeru, kelakuan dan percakapan perlu dikawal kerana kita tidak tahu bagaimana situasi di tempat sebegitu.

Selebihnya, filem ini menyeronokkan dan kami menghabiskan masa sekurang-kurangnya tiga minggu sahaja untuk penggambaran,” tutupnya mesra.

Post a Comment

Previous Post Next Post