Ogy cari pelakon miliki jiwa


Rupa paras yang elok tidak menjanjikan sebarang prospek dalam lakonan. Itu pendapat pelakon dan pengacara tersohor, Fauziah Ahmad Daud apabila ditanya mengenai situasi industri hiburan sejak kebelakangan ini.

Menurut Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy, 56, seorang pelakon yang berkualiti perlu memiliki ilmu agar apa yang disampaikan di hadapan kamera tidak kelihatan kosong.

“Sebagai pelakon, kita tidak boleh bergantung harap pada rupa dan jumlah pengikut di laman sosial semata-mata.

“Justeru, untuk mengekalkan kredibiliti dalam bidang seni dan terus dipandang tinggi oleh khalayak, seseorang pelakon perlu mengisi minda mereka dengan ilmu,” katanya kepada Kosmo!.

Mahu berkongsi pengalaman dan menggilap bakat-bakat yang ada dalam industri, pelakon filem Langit Cinta itu bakal mengadakan uji bakat bagi mencari permata seni baharu untuk mengisi akademi lakonannya, Ogy Centrestage & Academy.

Melanjutkan bicara, Ogy berkata, akademi yang baru berusia sekitar sebulan itu ditubuhkan bagi menyambung legasi dunia lakonan yang pernah dicetuskan olehnya.

“Ketika saya masih kecil, ibu saya, Allahyarham Saadiah yang bertanggungjawab mengesan bakat lakonan yang ada pada saya.

“Jadi, saya mahu berbuat perkara yang serupa dengan mencari bakat-bakat baharu untuk digilap dan diangkat sebagai pelakon berkualiti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ogy turut menjelaskan, dia bukan sahaja mahu melahirkan pelakon berbakat dan terisi jiwanya dengan ilmu tetapi turut santun membawa diri dalam kalangan media.

“Apa dapat saya perhatikan, ramai artis baharu yang popular tidak mempunyai kepakaran untuk berbicara dengan media.

“Mereka perlu sedar bahawa komunikasi dua hala dengan wartawan merupakan perkara penting kerana golongan artis dan media saling memerlukan antara satu dengan lain,” tegasnya.



Tidak hanya meletakkan pembelajaran lakonan semata-mata, Ogy turut membuka peluang kepada orang ramai untuk belajar tentang selok-belok dunia pengacaraan, pengarahan dan juga penulisan skrip.

“Dunia seni ini luas. Jika seseorang itu tidak menyerlah dalam bidang lakonan, barangkali dia handal dalam mengacara atau menulis skrip.

“Apa yang penting adalah minat dan usaha untuk memperbaiki diri. Saya yakin, dengan adanya dua perkara tersebut, seseorang akan berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Ogy turut berpesan kepada mereka yang berminat untuk berguru dengannya supaya membuang jauh perasaan takut dan bimbang.

“Apa yang anda lihat ketika saya melakukan tugas-tugas mengkritik adalah tanggungjawab saya dalam melunaskan kerja digalas.

“Apabila berada dalam kelas, saya tidak sebegitu dan bersedia untuk berkongsi ilmu serta pengalaman dengan sebaiknya,” ujarnya lagi.



Dalam perkembangan lain, Ogy bakal menganjurkan uji bakat khas mencari individu yang berminat mengembangkan bakat dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Uji bakat tersebut terbuka untuk mereka berusia 10 hingga 45 tahun dan bakal diadakan di Suara Academy, B-02-03 Neo Damansara, Jalan PJU 8/1 Bandar Damansara Perdana, Selangor bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang pada 3 Februari ini.

Yuran sebanyak RM150 dikenakan dan peserta yang terlibat akan menerima profil dan sebuah show reel. Peserta yang datang ke uji bakat secara automatik diwajibkan untuk mengikuti bengkel lakonan dan pengacaraan di Ogy Centrestage & Academy.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Ary di talian 019-579 0272 atau Farah 011-2358 6780.

Post a Comment

Previous Post Next Post