Bidang nyanyian taruhan Naim Daniel


Naim tidak menolak rezeki dalam bidang lakonan meskipun memberi tumpuan kepada bidang nyanyian.

Minat terhadap dunia nyanyian menjadikan penyanyi baharu, Naim Daniel serius untuk mengukuhkan kedudukan menerusi single debut berjudul Sekali Lagi.

Lantas, lagu ciptaan Omar K itu menjadi pertaruhan awal buat pemilik nama lengkap, Muhammad Naim Daniel Baharin merebut tempat dalam industri seni tanah air.

Tanpa menyertai sebarang program realiti di kaca televisyen, Naim Daniel menggunakan platform media sosial untuk memperkenalkan diri kepada khalayak dengan melakukan lagu cover.

Bukan sahaja aktif dalam bidang nyanyian, jejaka berusia 21 tahun itu tidak menafikan dia banyak menerima tawaran berlakon selepas kemunculan dalam filem Bisik Pada Langit menarik perhatian ramai.

Justeru, Naim berhasrat untuk tidak terlalu terburu-buru mengejar cita-cita dalam bidang nyanyian dan lakonan. Baginya, kesempurnaan kualiti lebih penting daripada kuantiti kerana ia bakal menentukan perjalanan kerjaya seninya kelak dalam industri.



KOSMO!: Sejak kemunculan Naim Daniel dalam filem Bisik Pada Langit mendapat perhatian ramai, apakah anda berhasrat memberi fokus kepada kerjaya lakonan?

NAIM DANIEL: Tawaran itu ada tetapi saya ingin memberi fokus kepada kerjaya nyanyian terlebih dahulu berbanding lakonan. Buat masa ini, fokus saya adalah mempromosikan single baharu bertajuk Sekali Lagi ciptaan Omar K.

Pada saya, fokus adalah perkara utama yang perlu diambil kira dan disebabkan bidang nyanyian merupakan pilihan pertama.

Sekiranya memberi fokus kepada nyanyian, tidakkah berasa bimbang sekiranya peminat melupakan bahawa anda juga memiliki bakat sebagai seorang pelakon?

Tidak mengira sama ada lakonan atau nyanyian, saya berusaha untuk melakukan sebaik mungkin. Namun, sekiranya tawaran tersebut melibatkan naskhah dan watak yang baik, insya-Allah saya tidak ada masalah untuk menerima tetapi perlu mengikut kesesuaian dengan waktu aktiviti nyanyian. Saya juga sedang dalam proses mempromosikan single baharu bertajuk Sekali Lagi.



Antara kerjaya lakonan dan nyanyian, yang manakah menjadi pilihan anda?

Kedua-duanya merupakan minat dan tidak mungkin saya memilih antara lakonan serta nyanyian. Begitupun, saya boleh katakan ingin memberi tumpuan kepada satu perkara dalam satu masa.

Saya tidak mahu terlalu mengejar mahupun membuat keputusan terburu-buru kerana ia akan memberi kesan buruk kelak sekali gus menjejaskan kerjaya.

Justeru, saya ingin memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyian terlebih dahulu. Selain itu, saya mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

Meskipun kuantiti tersebut banyak tetapi tiada yang berkualiti atau mampu meninggalkan impak kepada peminat, pada saya ia suatu perkara sia-sia.

Anda dilihat serius dalam bidang nyanyian, adakah selepas ini tidak akan melakukan lagu cover seperti yang kerap dilakukan sebelum ini?

Memiliki single sendiri tidak membataskan saya untuk tidak melakukan cover terhadap lagu lain. Tambahan, peminat mengenali saya selepas melakukan lagu cover di media sosial.

Seperti kebiasaan, kita sendiri melihat ramai penyanyi tempatan mahupun antarabangsa melakukan cover dan mendapat sambutan baik daripada peminat.

Fokus kepada bidang nyanyian, adakah itu bermaksud anda kini bersikap selektif terhadap tawaran berlakon?

Saya mengakui sikap selektif itu perlu ada kerana ingin tampil dengan kelainan kepada penonton. Sekiranya membawa karakter sama ia mungkin akan menyebabkan penonton bosan dan tidak memberi impak kepada mereka.

Begitupun, watak yang seakan sama mampu mencabar kreativiti dan kemahiran diri agar dapat menampilkan kelainan kepada karakter tersebut.

Saya juga bersyukur kerana diterima para penonton dalam filem Bisik Pada Langit dan berterima kasih kepada penonton yang memberi sokongan.

Post a Comment

Previous Post Next Post