Ibu Diana Danielle Tinggal sebumbung, tiada masalah jumpa anak


Ibu Datin Diana Danielle, Norsiah Ramli mengesahkan anaknya masih tinggal sebumbung dengan suami, Datuk Farid Kamil sehingga kejadian menimpa semalam.

Kata Norsiah, dia pelik dengan kenyataan adik Farid, Fadzil Zahari mengatakan abangnya tertekan kerana tidak dibenarkan berjumpa anak-anak, Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3.

“Diana dan Farid masih tinggal sebumbung dan hubungan mereka baik saja. Rumah mereka hanya satu tingkat di atas rumah saya.

“Jika Diana pergi kerja, anak-anak ditinggalkan dengan saya. Malah saya turun naik lif untuk mengambil barang mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Norsiah akui minggu lalu Diana dan anak-anak tidur di rumahnya kerana dia balik lewat malam dari latihan projek filem.

“Cuma Farid tidak ada menghubungi atau melawat. Saya tidak pernah terfikir untuk melarang atau menghalang Farid dari bertemu anak-anaknya sejak dulu.

“Jika nak jumpa atau rindu, anak-anak ada di rumah saya dan dia boleh datang bila-bila masa. Itu yang saya terkejut apabila dia dikatakan rindu anak-anak sehingga mengalami tekanan.

“Saya juga bekerja dari rumah dan memang banyak masa di rumah,” katanya.



Kata Norsiah, pembantu rumah memaklumkan Farid nampak gembira apabila bertemu dengan Aurora yang sangat rapat dengannya.

“Anak-anak juga sempat bermain dan tidur di rumahnya minggu lalu. Hubungan Farid sangat rapat dengan anak-anak sejak dulu.

“Cuma apabila Diana keluar bekerja, baru anak-anak tinggal di rumah saya,” katanya.

Semalam, Farid ditahan selepas dipercayai menampar anggota polis di Kota Damansara, Petaling Jaya dan pagi ini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan.

Majistret Zaki Asyraf Zubir mengeluarkan perintah reman terhadap pelakon dan pengarah berusia 37 tahun itu bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Mengenai penahanan reman menantu, Norsiah menyerahkan kepada pihak berkuasa dan enggan mengulas lanjut perkara itu.

“Saya serahkan kepada pihak berkuasa buat siasatan dan saya tak nak masuk campur,"katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post