Penyanyi remaja, Haqiem Rusli mengakui kurang mengambil persembahan pentas sejak awal bulan ini, bagi memberi komitmen dan fokus penuh terhadap penyertaan sulungnya ke Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL) yang bakal berlangsung 11 Februari depan di Axiata Bukit Jalil.
Bintang berusia 20 tahun itu juga terpaksa membatalkan beberapa persembahan pentas.
“Ada beberapa persembahan terpaksa dibatalkan kerana waktu yang agak dekat dengan AJL. Ini merupakan pengalaman pertama di pentas besar dan berprestij macam AJL. Jadi adalah perlu untuk saya fokus betul-betul,” katanya kepada Sinar Harian.
Haqiem bertanding menerusi lagu Tergantung Sepi, ciptaan Ghouffran dan Ibnu.
Ditanya mengenai potensi besar lagu tersebut untuk membuktikan sesuatu di AJL32 nanti, Haqiem tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu besar. Sebaliknya, dia cuba memberikan yang terbaik dan selebihnya, mengharapkan sokongan peminat.
“Setiap lagu yang bertanding pun ada keunikan tersendiri. Pada masa sama, kita pun ada penyanyi senior lain yang turut bertanding. Jadi saya hanya harap dapat buat persembahan yang baik.
"Asalkan saya, ibu bapa dan syarikat rakaman berpuas hati, itu sudah memadai,” luahnya ketika ditemui sejurus sidang media AJL32 di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, 11 lagu lain yang turut bersaing di AJL32 ini ialah Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan sepenuhnya Ajai dinyanyikan Dayang Nurfaizah, Sejati (Faizal Tahir/Mike Chan/Azmi Caliph Busker), Menahan Rindu (Ibnu & Gouffran/Wany Hasrita), Lebih Sempurna (Syamel) dan Aku Cinta (Syamel/Ernie Zakri).
Enam lagu lain ialah Warkah Untukmu (Hang Nadim/Laq/Ara Johari), Bayang (Alam Harry Khalifah/Patrick Anahonda/Khai Bahar), Jampi (Hael Husaini/Ezra Kong), Aku Yang Sebenar (M.Nasir/Ad Samad/Hazama & The Penglipurlara), Amboi (Navigator/Altimet) dan Akhirnya Cinta (Ajai/Slen/Salma).