Hanis Zalikha dan Hairul Azreen bersama anak mereka Yusof Iskandar pada sidang media program My Little Heroes.
Pasangan pelakon Hairul Azreen dan Hanis Zalikha terbuka terhadap sebarang teguran atau pandangan masyarakat luar berhubung apabila program My Little Heroes yang menampilkan anak mereka Yusof Iskandar disiarkan.
Hanis atau Hanis Zalikha Zainal Rashid, 28, berkata, sejak awal mereka suami-isteri sudah berbincang mengenai kesan yang bakal diterima sebelum menerima tawaran program itu yang memaparkan aktiviti harian Yusof dan kucingnya, Bujibu.
“Saya dan Hairul sudah berbincang terlebih dahulu sebelum kami menerima tawaran untuk buat program ini.
“Kami tahu akan ada yang memberi pandangan berbeza mengenai cara kami menjaga Yusof. Segala teguran, pandangan atau kritikan kami akan terima dengan hati terbuka.
Pasangan ini terbuka dengan pandangan masyarakat berhubung cara mereka membesarkan Yusof.
“Anggap sahaja setiap orang mempunyai pendapat berbeza dan bila dah ambil tawaran ini maknanya kami kena terima kata-kata orang luar,” katanya kepada mStar Online.
Hanis dan Hairul serta Yusuf ditemui pada sidang media My Little Heroes di Blokke Cafe, Citta Mall di sini, Rabu.
Program lapan episod itu bakal bersiaran pada setiap hari Rabu, 9 malam bermula 24 Januari ini menerusi Astro Ria dan Ria HD.
Yusof manja dengan bapanya.
Dalam pada itu, Hanis berkata, program itu akan mengetengahkan perjalanan anaknya dan kucing peliharaan mereka daripada kesinambungan program Hanis & Hairul Junior sebelum ini.
“Sebelum ini Hanis & Hairul Junior mengisahkan perjalanan hidup ketika saya hamil dan selepas bersalin.
“Jadi, program kali ini lebih kurang macam kesinambungan daripada itu, cuma bezanya sekarang penonton dapat melihat aktiviti yang dilakukan Yusuf dan Bujibu.
“Penonton boleh lihat keakraban Yusof dan kucing kami yang bermain bersama sejak Yusuf lahir lagi,” ujarnya.
Hairul Azreen & Hanis Zalikha