Selepas menangguhkan majlis pernikahannya yang sepatutnya berlangsung pada 31 Disember lalu, penyampai Suria FM, Fizi Ali berkongsi tarikh baru yang bakal menyaksikan dia disatukan dengan tunangannya, pelakon Syakilla Khoriri.
Menurut Fizi, selepas mencapai kata sepakat bersama keluarga kedua belah pihak, mereka memutuskan untuk melangsungkan majlis pernikahan pada 18 Februari depan.
“Kami berdua bakal disatukan pada 18 Februari depan di sebuah lokasi di Kuala Lumpur.
“Insya-ALLAH, majlis resepsi juga akan berlangsung pada hari yang sama bagi memudahkan keluarga kedua belah pihak untuk bersama- sama kami pada hari tersebut,” ujar Fizi.
Bagaimanapun, Fizi yang mengendalikan segmen Suria Pagi bersama Zulin Aziz ini mengakui belum selesai membuat persiapan untuk majlis hari bahagianya itu.
“Keadaan saya agak kelam kabut sikit sekarang kerana belum selesai membuat persiapan biarpun majlis semakin hampir kerana terikat dengan urusan kerja.
“Kebetulan tunang saya, Syakila juga kini sedang sibuk di lokasi penggambaran membuatkan kami tidak sempat meluangkan masa untuk buat persiapan.
“Hari-hari bergaduh pasal persiapan kahwin belum selesai, tapi saya percaya kami masih ada masa buat persiapan,” katanya.
Fizi dalam masa yang sama turut merakamkan rasa terima kasih kepada rakan-rakannya yang banyak membantu, malah turut menaja persiapan perkahwinannya.
“Alhamdulillah, rezeki kami datang tanpa disangka apabila ada pihak yang sudi nak taja majlis kami baik untuk pelamin, baju dan sebagainya.
“Kebanyakkannya kawan-kawan sendiri yang tumpang gembira tengok kami nak kahwin,” katanya.
Fizi dan Syakilla mengikat tali pertunangan pada 16 Julai lalu dan merancang untuk melangsungkan majlis penikahan pada 31 Disember baru-baru ini.
Namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, pasangan ini terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka.