El Suka kendali segmen malam


Tidak semua orang berpeluang dan memiliki bakat sebagai penyampai radio.

Bagi penyampai radio Hot FM, El, 29, peluang yang diberikan stesen radio popular itu menjadi medan terbaik untuknya mengasah bakat.

Menurut El, selepas hampir dua tahun mengendalikan segmen yang kini dikenali Mega Hot bersama Haziq, banyak pengalaman dan kenangan manis dilakarnya.

“Jika sebelum ini, saya hanya bertugas di Hot FM Terengganu, tapi sejak dipindahkan ke Hot FM Kuala Lumpur saya rasakan suasana kerja yang sangat seronok.

“Ini kerana saya dapat bertemu dengan ramai penyampai radio senior untuk saya menimba ilmu dan mempelajari selok-belok mengendalikan segmen malam.

“Alhamdulillah selama dua tahun ini, banyak pengalaman baru ditimba bersama Haziq yang turut membantu saya menjadi penyampai yang lebih baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut El, sejak mengendalikan segmen Mega Hot, rata-rata pendengar mengenalinya sebagai penyampai berbadan ‘sado’ dan menggemari muzik Bollywood.

“Kebanyakan pendengar kami dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi dan pendengar yang baru pulang bekerja.

“Jadi setiap kali ke udara, rata-rata mengenali saya dengan fizikal badan yang sado kerana saya sering ke gimnasium dan berkongsi aktiviti saya di laman sosial,” katanya.



Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Sofiuddin ini, dia akui segmen yang dikendalikannya bersama Haziq bukan mudah kerana jika dilihat beberapa stesen radio lain mempertaruhkan penyampai radio yang dikenali namanya dan pernah memenangi anugerah.

“Saya tidak melihat situasi itu sebagai satu tekanan, sebaliknya saya lebih optimis mencari jalan terbaik menarik lebih ramai pendengar.

“Bagi saya, kejayaan seseorang penyampai radio terletak pada jumlah pendengar bukannya populariti seseorang individu itu.

“Jujur saya katakan, saya tidak mengejar untuk terkenal kerana saya percaya populariti seseorang akan hadir tanpa dipaksa.



“Sebagai pendatang baru, saya perlu bekerja keras dan tidak mudah mengalah menjadi penyampai yang disegani satu hari nanti,” katanya

Ditanya mengenai sasaran El tahun ini, dia mengharapkan namanya tercalon dalam senarai awal pencalonan di Anugerah Bintang Popular BH menerusi kategori Penyampai Radio Popular.

“Saya percaya mana-mana penyampai radio pasti menginginkan namanya tercalon dalam setiap anugerah yang dipertandingkan.

“Justeru, saya harap sebagai permulaan karier ini nama saya terpilih. Bukan apa, pencalonan ini sumber semangat untuk bergerak lebih maju dalam cabang kerjaya ini,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post