Jika melihat ada perubahan ketara pada fizikal penyanyi Meghan Trainor baru-baru ini, ia kerana badannya susut sebanyak 10 kilogram.
Jelas penyanyi berusia 24 tahun itu, dia sedang berusaha melakukan transformasi diri kerana kerap dikaitkan dengan jolokan wanita gempal.
Bagaimanapun, penyanyi lagu All About That Bass itu ada misi tersendiri untuk menurunkan berat badan. Bukan mahu jadi lebih cantik sebaliknya dia lakukan itu demi masa depannya.
“Suatu hari, kita akan memiliki cahaya mata. Oleh itu saya mahu sihat untuk menjaga anak nanti,” katanya.
Meghan memang terkenal kerana sentiasa menyebarkan mesej positif apabila menyentuh mengenai bentuk badan. Dia sendiri cukup selesa dengan penampilannya sekarang.
Namun, dia mengakui bukan setiap masa memiliki keyakinan itu.
“Saya masih berusaha keras mencari keyakinan diri. Sukar sebenarnya membesar sebagai gadis bertubuh gempal. Masih ingat lagi, jika pergi membeli-belah, kawan saya yang bertubuh kecil senang cari baju dan saya pula kena ambil baju ukuran L. Bahkan, di kedai tertentu, saya tidak dapat beli apa-apa pun,” katanya.
Namun, ujar Megan ia bukan penghalang untuknya sentiasa bangga mempamerkan saiz badannya.
Perkembangan lain, penyanyi itu dalam proses menyiapkan album ketiganya dengan mengambil pendekatan berbeza terhadap karyanya kali ini. Meghan sememangnya sentiasa menjadi rebutan ramai penyanyi terkenal lain untuk berkolaborasi dengannya. Terdahulu, lagunya bersama Charlie Puth dan John Legend mendapat sambutan hangat.
Namun, untuk album barunya ini, dia akan menampilkan anggota keluarganya sendiri dan tunangnya, Daryl Sabara.
“Saya menghabiskan masa setiap hari di studio bersama keluarga dan tunang saya. Mereka turut menyanyi lagu baru itu dan bapa saya sendiri bermain piano serta organ.
“Rasa diri ini sangat istimewa kerana disayangi semua orang dan memiliki keluarga yang bahagia,” katanya.
Tahun 2018 jelas membuka lembaran yang sangat baik untuk kerjaya seninya. Bukan saja mengikat tali pertunangan dengan Daryl, dia turut dilantik menjadi juri rancangan muzikal The Four bersama Diddy dan DJ Khaled yang dihoskan Fergie.