Alvin Chong ada hubungi Emma Maembong


Merancang sesuatu itu boleh, namun sama ada ia terlaksana atau tidak, itu semua ketentuan daripada Tuhan. Sama halnya dengan jodoh yang mana tiada siapa dapat menebaknya.

Meskipun drama Awak Suka Saya Tak sudah melabuhkan tirainya pada Oktober tahun lalu, namun masih ada peminat yang mengharapkan dua hati penyandang watak utamanya, Alvin Chong dan Emma Maembong bersatu.

Lebih-lebih lagi apabila Emma kini menyarung status solo selepas berpisah dengan Kamal Adli. Maka, peminat drama berkenaan kembali memutarkan keinginan mereka untuk melihat pelakon cantik itu bercinta dengan Alvin.

Baru-baru ini, Emma tampil di sebuah portal menjelaskan hubungannya dengan Alvin tidak melebihi sebagai kawan baik sahaja. Emma membuat penjelasan itu selepas diasak peminat yang mahu melihat dia dan lelaki berketurunan Cina itu bercinta.

Sensasi Bintang cuba menghubungi Alvin bagi mendapatkan jawapan agar ia mampu merungkai angan-angan peminat drama berkenaan.

“Hubungan saya dengan Emma tidak lebih daripada kawan. Bagaimanapun, saya akui masih menghubungi Emma untuk bertanya khabar walaupun selepas drama berkenaan tamat,” ujar pelakon yang mula dikenali selepas membawa watak sahabat baik kepada Fattah Amin dalam drama popular, Suri Hati Mr. Pilot itu berterus terang.



Ditebak sama ada dia bersedia bercinta dengan Emma atau mana-mana wanita Melayu andai ada jodoh, ini jawapan Alvin.

“Saya tidak memikirkan perkara-perkara yang belum berlaku. Tengoklah nanti macam mana,” jelasnya yang bersyukur peminat tidak mengecamnya walaupun bergandingan dengan heroin lain di dalam drama selepas keserasiannya bergandingan dengan Emma.

Bagi pelakon berusia 27 tahun itu, peminat-peminat sebenar akan menyokongnya tidak kira apa jua pilihan dan tindakannya.

Dalam perkembangan lain, Alvin bakal menjalankan bisnes produksi digital sendiri selain sibuk mempromosikan single terbaharunya, Mencintaimu.

“Sekarang saya masih mempromosikan single terbaharu, Mencintaimu yang menjadi lagu runut bunyi bagi drama bersiri Coffee Prince. Selain itu, saya juga sedang sibuk dengan penggambaran filem berbahasa Mandarin yang membabitkan usahasama syarikat produksi dari Hong Kong yang berjudul Wild Wild Cops.

“Dalam filem berkenaan saya memegang watak sebagai inspektor polis yang menjalankan misi penyiasatan ke atas pembunuhan misteri,” kongsinya mengenai filem yang bakal ditayangkan di Malaysia dan juga laman web digital di China itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post