Zul Ariffin muncul kembali


Pelakon, Zul Ariffin, kembali bersama perkongsian terbaharu di laman sosial Instagram selepas lebih sebulan menyepi.

Memuat naik fotonya dengan imej pakaian Arab beberapa jam lalu, Zul, 31, berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan ucapan dan ingatan kepadanya.

"Assalamualaikum. Mewakili keluarga, saya ingin berterima kasih kepada semua atas ingatan dan ucapan yang diberikan.

"Maafkan saya kerana tidak dapat membalas mesej-mesej anda. Anggaplah perkongsian ini sebagai tanda terima kasih kami buat semua yang mengingati ibu kami, Hajah Robiah Binti Nasir. Terima kasih kerana mengambil berat," coret Zul.

Pada 5 Disember lalu, ibu bintang Tombiruo itu meninggal dunia akibat serangan jantung. Berita itu disahkan kelab peminatnya, Zul Ariffin FC menerusi Instagram.

Zul terlebih dulu mendiamkan diri seketika daripada dunia media sosial apabila kali akhir memuat naik status di laman terbabit pada 6 November lalu.

Sementara itu, rata-rata peminatnya yang meninggalkan komen, memberi kata semangat dan mendoakan agar aktor berkenaan terus tabah dalam kehidupan.



"Semoga menjadi anak yang soleh dan menjaga tutur bicara... @zul_ariffin seorang yang tenang. Tidak suka maki hamun. Al-Fatihah untuk arwah bondanya," tulis peminat yang menggunakan nama @mis_shalala

Peminat yang menggunakan akaun @nurusyifa_ pula memilih untuk menitipkan pesanan berguna buat pelakon bertubuh tegap itu.

"Setiap yang bernyawa pasti akan pergi, kita yang hidup perlu terus melangkah. Perbanyakkan sedekah kepada ibu, doa jangan putus. Insya-Allah anak yang soleh peninggalan ibu dan ayah yang paling berharga. Sebab Encik Zul masih dapat menyalurkan amalan kebaikan kepada kedua-dua ibu dan ayah. Insya-Allah keluarga Encik Zul sentiasa dilindungi dan terpelihara... Amin," tulisnya.

Dalam pada itu, aktor, Sharnaaz Ahmad, turut mengucapkan selamat kembali ke dunia laman sosial kepada pelakon berkulit cerah berkenaan.

"Selamat kembali pesaingku. Jom kita 'lawan' dalam industri ini (seni). Cukuplah perkara-perkara yang merepek dan populariti yang tidak perlu," katanya.

Menerusi entri berkenaan, Zul menerima lebih 115,000 'like' dan ribuan komen. Zul mempunyai lebih 1.8 juta pengikut di laman sosial Instagram.

Post a Comment

Previous Post Next Post