Syed Ali Di mana silapnya


Ada perasaan kecewa dan terkilan dalam hati pelakon Syed Ali Syed Mokhtar, 32, apabila selepas 13 tahun berlakon, masih ada penerbit drama yang tidak mengenalinya.

Entah di mana silapnya kerana dia antara pelakon yang tidak bermasalah dan sering memberikan komitmen tinggi apabila berada di lokasi penggambaran kerana selain minat, berlakon adalah ‘periuk nasinya’.

Pernah berlaku apabila sudah sampai ke lokasi tiba-tiba penggambaran untuk babaknya dibatalkan pada saat akhir.

“Ada pengurus produksi yang minta saya datang ke lokasi penggambaran di Janda Baik pada tengah malam. Penggambaran drama apapun saya tak tahu. Macam-macam pengalaman saya lalui, tetapi saya amat sayangkan bidang lakonan dan meskipun banyak rintangan, dunia lakonan tidak akan saya tinggalkan.

“Saya terima apa saja perancangan Allah. Ada pelakon yang rezekinya datang terlalu cepat dan saya pula perlu melalui banyak dugaan. Apa yang penting, masih ada syarikat produksi beri saya peluang berlakon.

“Itu sudah cukup bagus untuk saya kerana biarpun nama tidak sehebat mana, masih ada ruang untuk saya dalam industri seni ini. Mungkin rezeki itu datang apabila usia terus meningkat dan diberikan watak bapa,” katanya.


Pada Disember ini, dia akan ke lokasi penggambaran drama bersiri 13 episod di Johor untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM). Berlakon sama, Zahiril Azim dan Ika Nabila.

Jika tidak terbabit dengan pengggambaran drama, dia memenuhi undangan ke pelbagai acara lain untuk menjalin hubungan baik dengan semua pihak kerana rezeki datang dalam pelbagai cara.

“Dengan meluaskan pergaulan, mungkin ada bidang lain saya boleh ceburi selain berlakon,” katanya.

Sebagaimana gerak hatinya, sejak enam bulan lalu Syed Ali menceburi perniagaan menjual sabun pencuci jenamanya sendiri.

“Alhamdulillah, meskipun sabun itu masih baru dalam pasaran, ia mendapat sambutan yang sangat bagus kerana ia produk asas yang mesti ada dalam setiap rumah.

“Mungkin juga saya satu-satunya artis yang tidak menjual pakaian, produk kecantikan dan kesihatan. Saya akan perluaskan perniagaan ini dengan mengeluarkan pewangi pakaian dan produk lain membabitkan kegunaan dalam rumah,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post