Percaturan Alvin Chong


Selepas melihat kelancaran perjalanan rentak seni penyanyi Fazura yang berada di bawah pengurusan Universal Music, mendorong pelakon dan penyanyi Alvin Chong untuk mengikuti jejak bintang tersebut.

Pelakon yang terkenal melalui Suri Hati Mr Pilot dan Awak Suka Saya Tak? itu adalah artis kedua yang berada di bawah pengurusan 360 milik Universal Music.

Namun, kontrak yang ditandatangani bukan sahaja sebagai penyanyi, sebaliknya, Alvin turut memberi kepercayaan penuh terhadap Universal Music untuk menguruskan segala urusan karier seninya termasuk kontrak sebagai duta dan hal berkaitan.
Keputusan tersebut diambil bukan sekadar untuk memastikan kerjayanya dalam bidang seni lebih kukuh, tetapi Alvin mahu impak yang besar dan lebih positif.

“Untuk beberapa tahun lalu, saya sendiri menguruskan perjalanan karier saya dan ia berjalan dengan baik.

"Sejujurnya, saya pernah memberitahu diri sendiri yang saya tidak akan menandatangani mana-mana kontrak kerana saya mampu melakukannya. Namun sejak akhir-akhir ini, jadual saya semakin padat dan ia berlaku dengan cepat,” ujarnya.

Tambahnya, dia mula sedar yang dia tidak mampu melakukan semua benda dalam satu masa.

"Universal Music datang pada waktu yang tepat. Mereka menunjukkan potensi untuk saya melangkah dengan lebih jauh pada masa hadapan.

"Saya memang impresif dan tergerak hati melihat keikhlasan mereka. Saya percaya dengan bernaung di bawah bumbung Universal Music, karier saya akan beranjak ke peringkat yang seterusnya.

"Lebih penting lagi, kami berada dalam visi yang sama iaitu mahu melebarkan pasaran saya ke luar negara dan membuatkan Malaysia bangga," katanya.


Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia & Singapura, Kenny Ong berkata, Universal Music sudah merangka gerakan perjalanan seni Alvin termasuk menyusun projek-projek Alvin di luar bidang nyanyian seiring dengan kepercayaan yang diberikan untuk memperkembangkan karier seninya.

“Alvin diuruskan oleh pasukan ‘New Business’ dan kami mengikat kontrak dengan bakat atau selebriti dan bukan hanya penyanyi.

"Adalah menjadi keutamaan untuk meletakkan Alvin bersama pasukan ini sejak dari awal dan kami akan merancang promosi serta pelan aktiviti berserta jenama untuk memastikan perkembangan karier selebriti yang berada di bawah bumbung Universal Music.

“Tinggi harapan kami, agar kerjasama yang dijalinkan ini akan memancarkan lagi bakat Alvin dalam dunia hiburan,” katanya.

Terbaru, Alvin akan melancarkan single berjudul Mencintaimu, di mana Alvin akan berkolaborasi dengan Sid Murshid, artis baru yang juga bernaung di bawah syarikat Universal Music juga.

Lagu bertajuk Mencintaimu ini akan dimasukkan sebagai salah satu lagu runut bunyi untuk drama bersiri “Coffee Prince”.

Post a Comment

Previous Post Next Post