Mira Filzah Tiada Niat Kejar Cinta VIP


Mira Filzah tidak terfikir jika pembabitannya sebagai pengacara Nona bakal menjadi buruan lelaki VIP.

Pelakon Mira Filzah berkata, peluangnya untuk bergelar pengacara program Nona bukanlah tiket untuk dia mengejar cinta orang kenamaan atau lelaki berstatus VIP.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 24, menjelaskan pembabitannya dalam program tersebut merupakan peluang untuk dia menyerlahkan bakat dalam bidang pengacaraan.

"Mungkin ada orang selalu fikir apabila jadi pengacara Nona mesti kena ada hubungan dengan VIP. Tapi saya tak terfikir langsung tentang hal itu.

"Cumanya, nak cakap lebih pun tak boleh sebab soal jodoh kita tak tahu, andai kata tertulis begitu, saya tak boleh nak tolak kerana ia sudah tertulis.


Mira menerima takdir cinta yang sudah tertulis dalam hidupnya.

"Apa yang boleh saya kata, pembabitan saya dalam program ini bukan berniat untuk memburu lelaki kaya atau VIP," katanya kepada mStar Online.

Mira ditemui semasa sidang media pelancaran Nona 2018, di Sri Pentas Bandar Utama, Petaling Jaya pada Isnin.

Pelakon drama Cinta Si Wedding Planner ini diberi kepercayaan mengendalikan program Nona terbitan TV3 untuk siaran sepanjang 2018.


Mira bersedia menerima kritikan penonton terhadap cara pengendaliannya dalam program tersebut.

Sebelum ini, Nona pernah dihoskan oleh Puan Sri Normala Samsudin, Maya Karin, Nurul Syuhada Nurul Ain, Fiza Sabjahan, Neelofa, Fara Fauzana dan Uyaina Arshad.

Sementara itu, Mira berkata dia sudah bersedia menerima kritikan dan kecaman netizen sepanjang dia mengendalikan program tersebut.


"Saya dah besedia dengan kritikan penonton, maklumlah apa sahaja kita lakukan pasti ada yang tak kena di mata mereka.


Mira belajar sesuatu yang baharu semenjak bergelar pengacara Nona.

"Bukan soal mengacara sahaja, malah, hal pakaian, kehidupan dan segalanya pasti ada yang nak kecam," katanya.

Dalam pada itu, Mira turut menjadikan hos terdahulu sebagai rujukan dalam mengendalikan program ini.

"Oleh kerana konsep program ini lebih berilmiah dan berilmu, saya akui ada tonton beberapa episod dan belajar cara pengacaraan daripada mereka.

"Namun, saya akan mengendalikan mengikut cara dan rentak saya sendiri. Insya-Allah moga semuanya dipermudahkan kelak," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post