Vokalis kumpulan Sakura Band, Mel atau Melley Matius, 29, terkilan apabila komputer riba yang mengandungi lagu baharu mereka, dicuri dalam kejadian pecah masuk studio rakaman di Bandar Puteri, Puchong, Sabtu lalu.
Katanya, dia lagu itu siap dirakamkan dan mereka bercadang melancarkannya awal tahun depan.
“Saya berharap komputer riba itu dapat ditemui semula kerana semua karya kami disimpan di dalamnya. Lagu sudah siap dirakam dan tinggal proses suntingan saja.
“Laporan polis juga sudah dibuat dan ada suspek yang ditangkap. Bagaimanapun, komputer riba serta empat telefon bimbit yang dicuri masih belum dijumpai. Mungkin suspek letak di tempat lain atau sudah dijual,” katanya.
Mel yang dikenali melalui lagu Polaroid berkata, mereka mengadakan sesi latihan di studio berkenaan pada malam itu sebagai persediaan persembahan mereka pada Ahad.
Katanya, gitaris utama Sakura Band, Ali Ezzati Musavi dan dua lagi rakan lain tidur di studio itu.
“Mereka menyedari perkara itu esok pagi dan Ali terus membuat laporan di balai polis. Mungkin mereka terlalu penat sebab latihan habis lewat malam hingga tidak sedar ada orang masuk dan mencuri telefon bimbit serta komputer riba.
“Nasib baik kedai di bawah ada kamera litar tertutup dan merakamkan tiga suspek disyaki. Apa pun, kami serahkan siasatan sepenuhnya kepada polis,” katanya.