Pemain dram kumpulan 6ixth Sense, Wan terharu melihat kegigihan isteri yang juga vokalis Sakura Band, Melley Matius atau Mell, mendalami agama Islam.
Wan atau nama penuhnya, Mohammad Safwan Hasnan bersyukur ibunya yang juga ustazah, banyak membimbing Mell menjadi muslimah yang baik.
"Alhamdulillah, sejak mendirikan rumah tangga pada 24 November lalu, saya tak sangka Mell rajin mendalami Islam... Ada saja soalan yang ditanya.
"Malah, kalau saya belum mengajaknya bersolat, dia yang akan mengajak dulu. InsyaAllah, tahun depan Mell akan menyertai kelas agama. Saya bersyukur melihat kesungguhannya," katanya ditemui pada majlis resepsi menyambut menantu sebelah keluarganya di Bangi Golf Resort, di sini.
Majlis yang cukup meriah dan bertemakan tradisional itu dihadiri lebih 500 tetamu merangkumi keluarga, rakan dan teman media.
Wan dan Mell dinikahkan pada 24 November lalu di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah. Majlis resepsi sebelah pengantin perempuan diadakan dua hari kemudian di bandar raya itu yang juga tempat asal Mell.
Sementara itu, Mell turut mendedahkan, sepanjang enam tahun perkenalan, dia tidak sangka Wan cukup mengambil berat dalam segala hal, berbeza ketika sedang bercinta.
"Saya tak sangka Wan suka mengambil berat sedangkan sebelum ini, dia buat tak tahu atau tidak kisah dengan perkara yang saya lakukan.
"Sekarang, semua benda dia nak tahu. Saya juga bangun awal dan belajar memasak dengan ibunya," katanya.
Ditanya mengenai perancangan memiliki anak, pasangan itu enggan terlalu tergesa-gesa berikutan komitmen tugas dengan projek menyiapkan album kumpulan masing-masing.
"Tahun depan, Sakura Band dan 6ixth Sense akan sibuk dengan rakaman album baharu.
"Kami merancang untuk memperoleh anak selepas setahun. Namun, andainya rezeki datang lebih awal, semestinya kami menerima dengan hati yang terbuka," kata Mell.