Walaupun persembahan terganggu akibat penyakit buasir, Lan Solo tetap mara ke peringkat separuh akhir Gegar Vaganza musim keempat.
Penyanyi Lan mendedahkan dia terlantar di hospital sebelum berlangsungnya pertandingan Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada malam Ahad akibat penyakit buasir yang kembali 'menyerangnya' sejak Isnin lalu.
Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 32, berkata, dia sepatutnya menjalani pembedahan namun terpaksa menangguhkannya demi komitmennya terhadap pertandingan itu.
"Sebenarnya saya sudah diserang penyakit buasir ini sejak Isnin lalu namun cuma makan ubat yang diberi oleh doktor di klinik.
"Namun pada Rabu lalu saya dah tak boleh tahan, apabila ke hospital dimaklumkan penyakit buasir saya itu memang sudah teruk.
"Doktor mahu saya dibedah tetapi saya tidak mahu kerana proses pemulihan memakan masa 10 hari," katanya.
Lan berharap peminat mendoakan kesihatannya.
Dalam pada itu, Lan mengakui akibat penyakit itu persembahannya menerusi lagu Pahit Akan Manis Akhirnya terganggu sehingga menyebabkan dia berada di kedudukan dua terbawah dengan markah 60.6 peratus pada peringkat suku akhir itu.
Kata Lan, menyedari persembahannya terganggu dia langsung tidak meletakkan harapan untuk mara ke separuh akhir dan hanya ingin melunaskan tanggungjawab dan harapan peminat terhadapnya.
"Seksa menanggung kesakitan hanya tuhan yang tahu sehinggakan hendak buat latihan pun tak larat.
"Memang saya tawakal sahaja dan hanya sempat menjalani latihan pada Sabtu lalu walaupun dalam pergerakan terbatas.
"Bagaimanapun alhamdulillah dalam kesakitan saya berjaya juga naik ke pentas dan melunaskan tanggungjawab saya," katanya.
Lan mara ke peringkat separuh akhir Gegar Vaganza 4.
Bercakap lanjut mengenai penyakitnya itu, Lan berkata, dia pertama kali terkena penyakit itu pada 2010 dan telah menjalani pembedahan.
"Tak sangka pula tujuh tahun kemudian dia jadi lagi.
"Mungkin kerana faktor tekanan, tak cukup rehat dan pemakanan membuatkan penyakit itu datang kembali.
"Tetapi alhamdulillah setakat ini sudah 80 peratus pulih cuma pergerakan saya sahaja yang terbatas," jelasnya.
Pada minggu keenam pertandingan itu, penyanyi dan pelakon Aqasha tersingkir selepas persembahannya menerusi lagu That's Why (You Go Away) mendapat markah terendah iaitu 43.8 peratus.