Pelakon Datuk Jalaluddin Hassan, 63, mengakui hidupnya kini kembali bermakna setelah mendirikan rumah tangga bersama isteri baru, Rapidah Abd Ghani, 12 November lalu.
Pernah mengalami fasa kemurungan selepas kehilangan isterinya pertamanya, Allahyarhamah Datin Hashimah yang meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit 5 November tahun lalu, Jalaludin mengharapkan agar perkahwinan baru ini kembali memberikan sinar kepadanya.
“Alhamdulillah hidup saya kembali teratur dan terjaga sebagaimana sebelum ini setelah kembali mendirikan rumah tangga.
“Sedikit sebanyak kesedihan saya sebelum ini terubat dengan kehadiran Rapidah sebagai isteri yang begitu mengambil berat tentang saya.
“Apa yang lebih membahagiakan, dia bukan sahaja ikhlas menerima saya, tetapi juga anak cucu saya dengan penuh kasih sayang sehingga menyentuh hati saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon yang bakal tampil dengan drama terbaru lakonannya, Syurga Yang Kedua tidak lama lagi ini turut meluahkan rasa sedihnya apabila ada netizen yang mempersoalkan kesetiaannya terhadap arwah isteri apabila memilih untuk berkahwin lagi.
“Orang di luar sana tidak tahu apa yang saya lalui sepanjang kehilangan isteri dalam tempoh setahun ini.
“Tidak mudah untuk saya hadapi situasi ini apatah lagi sudah lebih 40 tahun kami hidup bersama membuatkan hampir setiap hari saya terkenangkan arwah.
“Saya melalui fasa kemurungan yang serius sehingga membuatkan keluarga risau keadaan saya dan sampai satu tahap bapa cuba mengubati ‘kesakitan’ saya dengan bacaan zikir untuk memulihkan kembali semangat saya, “ jelasnya.
Berikutan keadaan itu jugalah ahli keluarga tidak putus-putus mencadangkan Jalaluddin berkahwin lagi agar dia tidak terus menerus patah semangat.
“Saya sebenarnya tidak terfikir untuk berkahwin lagi, namun perancangan Allah itu adalah sebaik-baik perancangan.
“Dia bukakan pintu hati saya untuk menerima seseorang yang begitu ikhlas menyayangi saya.
“Saya kesal apabila orang di luar sana dengan begitu mudah menilai perasaan saya sedangkan mereka tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya, “ luah bapa kepada lapan anak ini dalam nada kesal.