Pelakon Izreen Azminda akhirnya membuka mulut mengenai status dirinya yang bergelar isteri kedua kepada ahli muzik bebas Muhammad Radzi Abdul Wahid atau lebih dikenali sebagai Ude.
Menerusi laman Instagramnya, Izreen berkata, tidak terlintas dek hatinya ingin menyorokkan hal itu, namun ia adalah di atas permintaan suaminya.
“Alhamdulilah, dan buat tatapan semua... saya ingin memohon maaf kerana tidak memberitahu berita ini sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai status saya.
“Saya faham status saya sebagai seorang selebriti seharusnya saya berkongsi berita ini iaitu mengenai pernikahan saya bersama suami,” tulisnya.
Izreen berkata, majlis pernikahan serba ringkas itu diadakan di Sunway Damansara pada 8 Ogos lalu dan telah dinikahkan sendiri oleh bapanya.
“Ia hanya dihadiri ahli keluarga dan teman rapat sahaja, tetapi memandangkan status saya sebagai isteri juga... saya terpaksa akur dgn permintaan suami supaya tidak menghebahkan berita ini sementara waktu memandangkan ini adalah pernikahan kali kedua buat saya.
“Majlis diadakan bersederhana sahaja mengikut hukum syarak...
Terima kasih buat teman-teman rapat, keluarga dan keluarga mentua kerana memegang amanah ini sebaiknya sehingga kenyataan dikeluarkan dengan keizinan suami,” ujarnya lagi.
Izreen turut berharap, dihentikan sebarang kenyataan yang tidak diketahui kebenarannya.
“Anda sendiri tidak tahu apa yang terjadi dalam rumah tangga kami, dan cepat menjatuhkan hukum dengan apa yang anda baca dan lihat.
“Seperti yang saya katakan...tidak perlu saya mencari bukti untuk menunjukkan kebenaran.. kerana kebenaran yang sebenar akan datang dengan sendiri tentang apa yang terjadi.
“Itu biar masa yang menentukan...cukuplah hanya doa yang terbaik dari anda semua dan semoga segalanya dipermudahkan buat saya suami dan Intan...Amin,” katanya.
Terdahulu, Izreen menafikan berkahwin dengan suami orang sehinggalah sebuah akhbar tempatan menemui isteri pertama Ude iaitu Intan.
Intan menerusi temubual itu mengakui hanya mengetahui kisah pernikahan tersebut tidak sampai sebulan namun redha dengan ketentuan Illahi jika sudah ditakdirkan hidupnya bermadu.