Indah Ruhaila selamat bergelar isteri kepada Ahmad Shariff dengan sekali lafaz.
Hanya dengan sekali lafaz, penyanyi Indah Ruhaila selamat bergelar isteri kepada lelaki pilihan hatinya, Ahmad Shariff Ahmad Taufik atau dikenali sebagai Mr. Boy, pagi tadi.
Popular dengan lagu Percayalah, Indah atau nama sebenarnya, Siti Ruhailah Hussein turut menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 dalam majlis akad nikah yang berlangsung sederhana itu di Bizmillah Wedding Center, Subang Jaya.
Majlis yang diadakan secara tertutup itu dihadiri oleh keluarga terdekat dan teman rapat kedua-dua pasangan pengantin.
Sementara itu, majlis resepsi bagi pihak perempuan malam ini juga diadakan secara tertutup dan akan dihadiri oleh ahli keluarga terdekat serta sahabat rapat sahaja.
Indah, 30, sebelum ini pernah bertunang dengan seorang pengurus akaun seminggu sebelum menyertai program realiti Akademi Fantasia 2013.
Namun begitu, pertunangan itu putus secara rasmi pada bulan Mac lalu di atas sebab-sebab yang dirahsiakan.