Imran Ajmain, Najwa Mahiaddin tidak mahu jadi penurut


Melakukan kelainan agar tidak nampak klise dalam sebuah lagu adalah pertaruhan Imran Ajmain dan Najwa Mahiaddin.

Kolaborasi buat julung kalinya ini bagaikan suntikan vitamin dalam muzik agar ia terdengar indah dan berbeza pada jiwa-jiwa pencinta muzik.

Memberi judul Sentiasa Merinding untuk lagu kolaborasi mereka, itu sudah cukup untuk menggambarkan keghairahan mereka dalam memberikan kelainan dalam karya terbaharu dua pemuzik itu.

Masakan tidak, di kala muzik masa kini dimonopoli oleh penyanyi muda yang menjual suara atas tiket lagu mendayu-dayu, Imran dan Najwa berani mempertaruhkan karya Sentiasa Merinding yang mengangkat genre R&B Pop dengan alunan muzik Melayu klasik.

Berbekalkan judul merinding yang memberi makna ‘bulu roma yang tegak’, lirik puitis dengan kombinasi melodi klasik serta moden yang terdapat dalam lagu Sentiasa Merinding dikatakan mampu meresap ke dalam sanubari pendengar.

Sensasi Bintang: Apakah yang membuatkan kalian berani untuk hasilkan lagu bergenre R&B Pop di kala pendengar masa kini lebih menggemari lagu yang mendayu-dayu?

IMRAN: Saya ada terbaca mengenai kecaman yang diterima penyanyi Altimet apabila lagu Amboi nyanyian dan ciptaannya berjaya memasuki Anugerah Juara Lagu (AJL). Segelintir netizen menganggap lagu tersebut tidak layak, sedangkan pada saya lagu Amboi merupakan lagu paling unik dan istimewa berbanding lagu-lagu lain yang tersenarai dalam AJL. Berbalik pada lagu kami, Sentiasa Merinding, saya akui takut menerima kecaman serupa dengan lagu Amboi di atas kelainan yang turut kami suakan kepada pendengar.

NAJWA: Sejujurnya, saya akui takut dengan maklum balas peminat menerusi lagu Sentiasa Merinding. Tambahan pula, kami berdua sudah lama tidak keluar dengan single baharu.



Jadi, bagaimanakah sambutan lagu Sentiasa Merinding selepas ia diperdengarkan kepada khalayak?

IMRAN: Alhamdulillah, walaupun tidak dapat menyaingi penyanyi muda, namun lagu Sentiasa Merinding berjaya mencecah hampir 30,000 tontonan selepas seminggu ia dimuat naik di laman YouTube. Pada masa sama, saya bersyukur kerana lagu kami juga mendapat kedudukan pertama di carta iTunes dan juga tersenarai dalam Top 50 Viral Malaysia.

NAJWA: Alhamdulillah, saya tidak menyangka lagu Sentiasa Merinding mendapat tempat di hati pendengar, bahkan menjadi trending di Twitter.

Pada pendapat kalian apakah keistimewaan lagu Sentiasa Merinding sehingga ia berjaya?

IMRAN: Pada saya, orang tertarik pada lagu tersebut kerana ia bersifat sederhana. Lagu itu tidak menggunakan nada yang tinggi dan ia mudah untuk dinyanyikan. Tema lagu yang kami ketengahkan juga ceria dan positif.

NAJWA: Ramai yang memberi komen di YouTube mengatakan lagu Sentiasa Merinding mempunyai lirik yang puitis dengan campuran muzik klasik serta moden. Maka, mereka suka dengan keseimbangan yang terdapat dalam lagu tersebut.

Boleh kalian kongsikan lebih lanjut mengenai lagu Sentiasa Merinding dan bagaimanakah kolaborasi ini terjadi?

IMRAN: Semuanya bermula pada empat tahun lalu, apabila salah seorang penerbit lagu-lagu kami sebelum ini iaitu Avex bertanya sama ada kami ingin berkolaborasi atau tidak di dalam lagu. Maka, atas persetujuan bersama, kami bertiga terus merancang untuk menghasilkan sebuah lagu istimewa. Daripada idea, penulisan lirik sehingga melodi, kami bertiga menghasilkannya bersama-sama.

NAJWA: Ini adalah kolaborasi pertama kami di dalam lagu. Menariknya, lagu ini dihasilkan oleh kami bertiga menerusi tiga negara berbeza. Saya ketika itu berada di New York, Amerika Syarikat. Imran pula berada di Belanda dan Avex berada di Australia. Kami menghubungi satu sama lain melalui aplikasi Skype dan e-mel.

Lama tanpa sebarang lagu solo baharu, boleh kalian kongsikan bila kali terakhir kalian muncul dengan single solo terbaharu?

IMRAN: Saya sudah lima tahun tidak muncul dengan lagu baharu. Kali terakhir lagu Dikalung Kasihan pada tahun 2012.

NAJWA: Kali terakhir saya muncul dengan lagu After The Rain pada 2015.

Selain lagu Sentiasa Merinding, boleh kongsikan projek seni kalian yang lain?

IMRAN: Saya bakal keluar dengan single solo terbaharu yang berjudul Intan Dan Perak pada hujung Januari depan. Insya-Allah, saya akan adakan rangka promosi dengan melakukan jelajah di Malaysia dan Singapura untuk single tersebut, malah pada masa sama saya juga akan menghasilkan album terbaharu yang mana lagu Sentiasa Merinding dan Intan Dan Perak turut dimuatkan.

NAJWA: Insya-Allah, saya akan keluarkan tiga lagu solo pada Januari depan iaitu Ocean, In The Name Of Love dan Togok. Lagu Ocean adalah hasil ciptaan suami saya, Idris Koh Heng Hui yang menggunakan nama samaran Shakey Shakey. Lagu Togok pula ciptaan Monoloque manakala lagu In The Name Of Love merupakan lagu ciptaan komposer dari Jerman iaitu Cee.

Post a Comment

Previous Post Next Post