Heliza Helmi lancarkan koleksi eksklusif pertama tudung Stella Collection di bawah jenamanya sendiri, HelizaGuzelHive.
Penyanyi Heliza Helmi hari ini telah melancarkan koleksi eksklusif pertama tudung Stella Collection di bawah jenamanya sendiri, HelizaGuzelHive.
Koleksi tudung yang menepati piawaian syariah ini dihasilkan menerusi kolaborasi bersama Guzelhive International semenjak lebih setahun yang lalu.
Tidak sekadar bermotifkan keuntungan perniagaan, sebahagian daripada hasil jualan setiap koleksi ini akan disalurkan ke Tabung Myheart.
Menurut Heliza, ia merupakan kerjasama antara Yayasan My Prihatin dan Institut Jantung Negara Foundation (IJN) bagi membantu kanak-kanak pesakit jantung kronik daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Kolaborasi ini tercetus apabila projek amal jualan tudung yang kami lakukan pada Ramadan lalu mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan daripada orang ramai.
“Berikutan itu, kami tampil dengan kolaborasi ini dalam usaha untuk meluaskan lagi usaha membantu mereka yang memerlukan.
“Ideanya mudah, di mana selain mendapatkan koleksi tudung yang diminati, pembeli secara langsung turut membuat sumbangan ke Tabung Myheart kerana sebahagian daripada hasil jualan koleksi ini akan disalurkan terus ke situ,” kata Heliza di majlis pelancaran koleksi ini petang tadi.
Tidak meletakkan target tertentu untuk jualan koleksi ini, Heliza bagaimana pun mengharapkan agar orang ramai semakin terbuka dengan konsep membeli sambil menyumbang ini.
“Jujurnya saya mengharapkan agar usaha dapat dilakukan secara berterusan dan dalam skala yang lebih besar lagi agar bukan hanya untuk pesakit jantung sahaja tetapi kalau boleh untuk pesakit dari kategori lain juga.
“Ini hanyalah langkah permulaan. Insya-Allah, mana tahu selepas ini akan ada usaha lain pula untuk menggerakkan matlamat yang sama bagi untuk membantu meringankan beban orang lain,” ujarnya yang kini sedang sibuk menulis buku berbentuk motivasi.
Koleksi Stella Collection yang direka khas dalam pilihan lima warna menarik dan dicirikan dengan kristal original daripada Swarovski ini bole dibeli secara online dan melalui ejen terpilih.