Fatin Afeefa okey, tidak tertekan


Sudah menjadi lumrah anak seni apabila kisah peribadi sering kali menjadi perhatian umum. Kadangkala, setiap gerak-geri mereka turut menerima reaksi berbeza daripada pengikut industri seni tanah air.

Keadaan menjadi lebih serius apabila nama mereka terpalit dengan isu kontroversi.

Begitulah nasib menimpa pelakon muda berusia 22 tahun, Fatin Afeefa yang menjadi tumpuan media hingga menyebabkan suhu termometer dunia seni naik mendadak beberapa hari lepas. Ia berikutan netizen mendakwa, gambar wanita sedang bercium dengan seorang lelaki bertebaran di laman sosial adalah dirinya.

Bagaimanapunn, Fatin atau nama lengkapnya, Fatin Nur Afifah Shamsudin yang juga antara barisan pelakon drama rantaian popular, Red Velvet memberitahu, dakwaan itu tidak memberi tekanan buat dirinya.

“Saya langsung tidak tertekan ekoran isu itu kerana wanita di sebalik gambar itu bukanlah diri saya. Ia tidak menggambarkan saya langsung. Namun, saya terpaksa menjelaskan hal berkenaan kepada keluarga yang ingin mendapat kepastian ekoran timbulnya isu ini.

“Saya sekarang sibuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya. Oleh itu, saya tidak tertekan malah tiada masa untuk memikirkan hal berkenaan,” ujarnya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.


Fatin yang turut membintangi filem kanak-kanak yang terkenal suatu ketika dahulu, Tentang Bulan juga mengambil pendekatan untuk tidak membaca sebarang komen daripada orang ramai.

“Saya tidak akan baca komen yang ditinggalkan oleh mana-mana individu bagi mengelakkan rasa marah dan sakit hati.

“Kadang-kadang kawan yang akan membacanya untuk saya. Saya memang tidak ambil pusing terhadap apa-apa komen yang diberikan,” jelas wanita yang pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Adam Shahz pada 21 Disember 2013 itu.

Bagaimanapun, pasangan itu bercerai dengan talak satu pada 30 Mei lalu.

Sebelum ini, akhbar Kosmo! melaporkan Fatin menafikan kononnya gambar seorang wanita sedang bercium dengan seorang lelaki tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu adalah dirinya.

Lebih teruk lagi, dia turut dituduh mengambil dadah jenis kokain gara-gara bentuk badannya yang semakin kurus.

Dalam pada itu, ditanya adakah dia mengesyaki perkara tersebut dilakukan oleh seseorang untuk menjatuhkannya, dia fikir mengetahui dalang di sebalik semua itu.

“Saya rasa tahu siapa yang melakukannya dan apa yang dia mahu daripada saya. Namun, saya tidak mahu tuduh melulu.

“Terima kasih lah, susah-susah buat orang kutuk saya,” ujarnya yang enggan memberitahu siapakah individu yang dimaksudkan itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post