Walaupun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak kerana disifatkan berkelakuan tidak waras, pengarah Erma Fatima mengambil pendekatan berbeza apabila menyuarakan sokongan terhadap Iqram Dinzly.
Menerusi kiriman gambar yang dimuat naik di laman Instagramnya semalam, pengarah berusia 49 tahun itu menulis kapsyen panjang yang ditujukan khas buat Iqram.
"Aku tidak percaya! Biar apa pun kata mereka, aku tetap tidak percaya. Di mana jua kau berada dik, kakak percaya kau tahu apa yang sedang kau lakukan," tulisnya.
Pelakon drama Mak Cun itu juga menyifatkan segala tindakan yang dilakukan Iqram adalah bayangan untuk manusia melihat diri mereka sendiri.
"Setiap kali melihat video kau, hati kakak berasa yakin. Bahawa kau sedang membuat persembahan di atas panggung untuk melihat diri kami.
"Maki hamun dan keji mengeji, itulah kita. Terima kasih kerana mengingatkan kami tentang diri kami. Kakak percaya, kau masih Iqram Dinzly yang aku kenal dulu," ujarnya.
Nama Iqram mula menjadi perhatian peminat selepas dia tampil berkelakuan pelik di laman sosial apabila berimej pakaian serba hitam selain mengenakan serban sejak beberapa bulan lalu.
Tindakan pelakon yang popular menerusi drama Kasih Alia yang bergambar sambil berbaring di sebelah pusara bapanya turut mengundang kebimbangan netizan yang beranggapan dia mengalami sakit mental.
Malah kelakuannya yang tampil menari secara agresif dalam aplikasi Instagram Live baru-baru ini mendapat kecaman daripada peminat.