Kesungguhan Dazrin Kamarudin untuk bangkit semula selepas tiga tahun menyepi akibat masalah peribadi wajar dipuji.
Dazrin, 29, melupakan kisah lalu dan semakin bersemangat mengusahakan syarikat produksi Flying D Entertainment serta menceburi bidang perniagaan.
Sokongan isteri tercinta, Nur Fazulin Razali, 33, yang dikahwini pada 6 Mei lalu turut menjadi sumber kekuatan dirinya.
Apatah lagi isterinya kini hamil lima bulan dan dijangka bersalin pada April tahun hadapan.
“Memang teruja menanti kehadiran orang baru dalam hidup kami. Saya kini sibuk pasang sendiri hiasan dinding khas untuk bilik anak kami.
“Pada saya hasil tangan sendiri lebih dihargai berbanding mengupah orang lain melakukannya. Setiap kali ada kelapangan, saya pasti akan buat kerja ini,” kata Dazrin.
Dazrin mengakui amat menyukai kanak-kanak. Bahkan dia sendiri membesar dengan anak kakaknya dan hubungan mereka sangat akrab.
“Boleh dikatakan persediaan untuk jadi bapa sudah ada. Saya terbuka terima pendapat orang untuk buat yang terbaik demi anak.
“Pengalaman menjaga tiga anak saudara sehingga besar amat membantu dalam perkara ini,” katanya.
Dazrin berkata, dia tidak berdepan kesukaran menjaga isterinya kerana tiada permintaan pelik yang dibuat.
“Dia hanya sukakan sup. Ketika awal kehamilan kami sama-sama sibuk menguruskan perniagaan, menghadiri mesyuarat dan sebagainya.
“Kami terkejut apabila doktor memaklumkan isteri hamil empat bulan. Saya tahu isteri hamil, tetapi ingatkan baru tiga minggu kerana tiada apa-apa tanda sebelum itu,” katanya.
Menurut Dazrin, isterinya mengalami pendarahan setiap bulan dan mereka menyangkakan ia haid.
“Fizikal isteri pun kecil jadi tak nampak sangat perut dia membesar. Namun saya bersyukur kerana kandungan sihat,” katanya.
Semakin sukses dengan perniagaan
Dulu lakonan dianggap sebagai mata pencarian utama, tetapi kini Dazrin lebih mengutamakan perniagaan yang pulangannya lebih baik.
Dia pantas merebut peluang apabila bergelar duta dan pemegang saham dua syarikat Bumiputera.
Terbaru, Dazrin menyuntik modal untuk satu produk pelangsingan Najya Beauty dan kini dipilih menjadi duta.
“Saya masih baru berjinak-jinak dalam bidang ini. Sebagai langkah pertama, saya mengeluarkan kos sendiri dengan melabur di bawah orang yang dilihat boleh membimbing saya ke jalan betul,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama Misi Dania Cun.
Menurutnya, dia turut membuka peluang kepada rakan artis untuk menambah sumber pendapatan menerusi perniagaan ini.
Dalam pada itu, Dazrin turut tampil dengan single pertama berjudul No Champion yang turut menampilkan Vessbroz.