Nama Daus Eli pernah menjadi sebutan terutama ketika dan selepas program Akademi Fantasia musim kelapan berlangsung.
Single pertamanya, Kenapa nyata mencuri tumpuan dan menjadi siulan.
Namun, tidak lama selepas itu, namanya mula pudar terutama selepas berkeluarga dan kembali menetap di negeri kelahirannya, Sarawak.
Terbaru, Daus kembali lagi ke dalam industri dengan buah tangan terbaru berjudul 1,000 Rasa Cinta. Single baru ini bergenre pop jaz hasil kerjasama Daus dengan penyanyi Rap, Know No.
Apa yang menarik ialah video muzik lagu ini dirakamkan di tujuh negara.
“Dalam memberikan kelainan, saya cuba mencari idea baru yang segar dan untuk buah tangan terbaru ini, saya cuba tampilkan kelainan melalui video muziknya.
“Pada awalnya, saya sekadar bercuti bersama keluarga dan pada masa sama menunaikan umrah di Makkah.
“Selepas selesai umrah, kami sekeluarga menuju ke beberapa negara antaranya Turki, Santorini di Greece, Bulgaria, London dan beberapa negara Arab,” katanya.
Bukan niat menunjuk-nunjuk dengan kemampuannya, Daus lebih memilih untuk berdikari dalam berkarya.
“Lagu 1,000 Rasa Cinta saya hasilkan sendiri, jadi kalau boleh biarlah saya lakukan semuanya sendiri termasuk video muziknya.
“Dalam dunia serba canggih seperti hari ini, teknologi terkini memudahkan banyak benda dan cuba lakukan apa yang saya tahu menerusi penghasilan video muzik ini.
“Sambil menyelam minum air. Jadi, sudah alang-alang bercuti di tempat menarik itu, saya ambil peluang rakamkan video muzik,” katanya.
Kali terakhir penyanyi berusia 29 tahun ini hadir menerusi single adalah pada 2013 kerjasama dengan pelakon dan penyanyi, Erry Putra.
“Single duet itu diberi judul Tiada Bererti. Sebelum itu, saya pernah keluarkan satu lagi single solo berjudul Akhir Waktu yang menjadi single kedua saya,” katanya.
Dalam tempoh ‘berehat’ itu, Daus sebenarnya menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga di samping menguruskan perniagaan.
“Sepanjang tempoh berehat daripada industri seni, tumpuan saya memang kepada keluarga sepenuhnya. Selain itu, saya dan isteri juga membuka serta menguruskan farmasi di Bintulu, Sarawak yang dibuka sejak 2014,” katanya.
Walaupun sudah ada tapak dalam industri, itu tidak menjadikan kemunculan semulanya ini sesuatu yang mudah.
“Selepas empat tahun berehat, memang tak mudah untuk memulakan semula langkah. Lagipun, saya perlu bersaing secara sihat dengan bakat baru yang ada pada hari ini.
“Kalau dulu ketika di dalam AF dan selepas AF, lagu saya nampak mudah dikenali kerana mendapat sokongan sepenuhnya oleh Astro yang menguruskan kerjaya saya.
“Sekarang, peminat dahagakan sesuatu yang tular dan saya perlu lakukan sesuatu mengenainya. Yang pasti, untuk single ini, saya yakin label pengedarannya, Indigital akan lakukan yang terbaik,” katanya.
Harapan Daus adalah agar nama dan lagunya kembali diterima peminat, sekali gus mendapat tempat untuk memeriahkan seni muzik tanah air.