Barangkali ada hati yang beranggapan, sukar mencari keserasian dalam pertemuan kali pertama. Namun, mungkin tanggapan itu sama sekali dapat ditangkis apabila melihat keserasian dua pelakon muda yang berbakat besar, Daiyan Trisha dan Hafeez Mikail.
Biarpun dua nama itu baru kali pertama digandingkan bersama-sama menerusi filem sulung mereka berjudul Busker, tetapi keserasian yang diwujudkan menampakkan mereka seolah-olah telah lama bergandingan.
Malah, kemesraan yang ditampilkan semasa sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini menunjukkan mereka semakin serasi biarpun di luar sebuah naskhah. Mungkin mereka sedang menyulam perasaan. Penulis tiada sebarang jawapan kerana pertanyaan itu disimpul mati oleh mereka.
Tidak mahu terus-menerus mempersoalkan soal cinta, pertemuan dengan mereka ternyata lebih indah untuk bertanyakan tentang pengalaman berlakon dalam filem pertama mereka serta impian sebagai anak seni dalam mengukuhkan portfolio sebagai pelakon serba boleh.
Cabar diri
Bukan mudah untuk seorang pelakon terutamanya mereka yang dianggap baru setahun jagung dalam industri perfileman untuk menggalas watak yang agak menyimpang daripada karakter sebenar apatah lagi di luar keupayaan diri.
Sungguhpun begitu, bagi mereka yang benar-benar mahu mencabar diri, pelbagai pendekatan akan diambil untuk membuktikan sesuatu karakter itu dapat dijayakan dengan baik sekali gus menjadikan lakonan itu melekat di jiwa peminat mereka yang tersendiri.
Begitulah juga yang ditempuh pelakon muda berbakat besar, Hafeez yang berani mencabar dirinya untuk menggalas tunjang utama sebagai Adil iaitu seorang penghibur jalanan di dalam filem itu biarpun menyedari ciri-ciri seorang busker yang sinonim dengan nyanyian bersama petikan gitar langsung tiada dalam dirinya.
“Sejujurnya, saya memang langsung tiada kemahiran dalam bermain gitar dan bakat menyanyi. Bagaimanapun, saya menyahut cabaran itu dengan mempelajarinya daripada orang yang lebih berpengalaman.
“Astro memberi masa selama dua bulan untuk berlatih dengan Monoloque. Selain itu, saya turut mengambil inisiatif sendiri dengan meluangkan masa untuk bermain gitar selama 12 jam sehari ketika berada di rumah dan alhamdulillah karakter itu dapat dihidupkan,” ujarnya rancak berkongsi serba sedikit pengalaman mengenai cabaran yang dihadapinya.
Berbeza pula dengan Daiyan yang berasa watak Vera yang dibawa olehnya di dalam naskhah yang akan mula ditayangkan mulai 11 Januari depan itu ada dalam dirinya.
“Vera di dalam naskhah Busker adalah seorang pelajar universiti yang terlalu mementingkan pelajaran sehingga mahu siapkan tugasan dengan cepat selain pembersih dan seorang yang teratur.
“Saya tiada masalah untuk memegang watak berkenaan memandangkan pada ketika itu saya masih bergelar pelajar dan memang saya sendiri adalah mahasiswi yang fokus terhadap pelajaran, kena duduk di barisan hadapan dan harus dapat markah tinggi dalam ujian,” kongsi gadis yang juga pelantun lagu Kerana Kau dan Kita Manusia.
Watak idaman
Berbicara dengan dua pelakon yang boleh dianggap setahun jagung dalam industri perfileman, sudah semestinya mereka juga mempunyai keinginan dan mendambakan sesetengah watak untuk naskhah akan datang.
Mungkin sesetengah pelakon impikan watak yang ‘lari’ daripada karakter diri kerana mahu mencabar kemampuan diri. Bagaimanapun berbeza dengan pemilik nama sebenar, Daiyan Trisha Nasaruddin, 24, yang berhasrat membawa watak yang dekat dengan dirinya terlebih dahulu.
“Saya mengimpikan beberapa watak termasuk shopaholic (gila membeli-belah) dan ingin membawa watak sebagai seorang yang berada di dalam industri pemasaran yang boleh memberikan pengetahuan kepada masyarakat tentang bidang tersebut.
“Sebagai pelakon, kita akan dapat memegang pelbagai jenis watak dan apa pun watak yang digalas, kita akan membawa diri kita yang sebenar dalam watak tersebut. Justeru, saya mahu terokai diri ini dengan lebih jauh terlebih dahulu melalui watak-watak yang saya impikan itu,” ujarnya memberitahu dirinya sudah dua tahun tidak berlakon sebelum menerima tawaran naskhah itu.
Meluahkan hasrat yang sama seperti Daiyan, Hafeez atau nama sebenarnya Muhammad Hafeez Muhammad Zaki, 25, turut berkongsi karakter yang diimpikan olehnya untuk naskhah akan datang.
“Alhamdulillah, sepanjang pembabitan dalam industri, saya sudah diberi peluang untuk melakonkan pelbagai watak yang berbeza dalam setiap naskhah termasuk pernah bawa watak sebagai orang buta, lembut dan psiko tetapi yang paling lama saya idamkan ialah berlakon dalam filem aksi.
“Saya amat meminati watak aksi lagipun realitinya saya terlibat dengan seni tempur campuran (MMA). Dengan pengalaman saya dalam MMA, saya mahu mencuba dan menggalas watak sedemikian,” ujarnya yang juga pernah berkhidmat sebagai pramugara Malaysia Airlines Berhad (MAS) selama dua tahun.
Pelakon pujaan
Usai sahaja selesai berbicara tentang persoalan itu, rasanya tidak lengkap sesi temu bual tanpa diajukan kepada mereka tentang pelakon idaman yang mahu digandingkan bersama.
Lumrah menjadi pelakon baharu, ada saja impian untuk bergandingan dengan aktor lain, bukan sekadar ingin merasai pengalaman berbeza sekurang-kurangnya berpeluang ‘mencuri’ ilmu daripada barisan nama yang telah lama menapak di dalam industri filem tempatan.
Menariknya, kedua-dua pelakon itu mengimpikan untuk bergandingan dengan Beto Kusyairy. Ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang aneh kerana atas permukaan kanvas seni, Beto dilihat mampu menghidupkan roh bagi setiap watak yang diberikan kepadanya.
Bagi Hafeez, watak Beto yang sentiasa hidup itulah yang menjadikan nama itu sebagai jawapan pertama yang keluar daripada mulutnya.
“Beto adalah aktor yang sebenar dan bukan semua orang mampu menjadi aktor. Semua orang tahu apa pun watak yang diberikan, dia mampu menggalas dengan begitu baik. Justeru, saya ingin bergandingan dengannya,” ujarnya bersungguh-sungguh seolah-olah sudah lama menyimpan hasrat.
Sementara itu, Daiyan pula mahu bekerjasama dengan seseorang yang sangat memberi komitmen dan bukan sekadar mahu selesaikan tugas. Daiyan berpendapat, Beto antara pelakon yang mempunyai ciri-ciri tersebut.
“Saya suka bekerja dan bekerjasama dengan orang yang kita boleh ambil sesuatu (ilmu) seni lakonan daripada mereka,” katanya yang juga punya keinginan untuk berganding dengan Izara Aishah dan Siti Saleha.