Bukti Mia Ahmad bukan pelakon kayu


Mia bersama trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Telenovela 2017 menerusi drama rantaian Mr. Boss Miss Stalker yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi drama rantaian Mr. Boss Miss Stalker pada Anugerah Telenovela 2017 yang berlangsung pada Sabtu lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini membuatkan Mia Ahmad optimis terhadap kerjaya lakonannya.

Meskipun sebelum ini dia kerap digelarkan sebagai pelakon kayu tetapi Mia atau nama sebenarnya, Samihah Ahmad Baderi mengambil setiap kritikan tersebut sebagai pembakar semangat buatnya terus mencipta nama dalam persada seni tanah air.

Kata isteri kepada penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Izham Tarmizi yang keguguran pada awal bulan ini, dia tidak lagi bersedih mengenai kejadian itu namun, masih belum mempunyai kekuatan sepenuhnya untuk berkongsikan punca insiden berkenaan selain selesa menjadikannya rahsia peribadi.

KOSMO!: Tahniah di atas kemenangan Mia Ahmad membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Telenovela 2017 pada Sabtu lalu. Bolehkah kongsikan perasaan anda?

MIA AHMAD: Saya bersyukur apabila diberikan anugerah tersebut. Jika dahulu khalayak mengatakan saya tidak pandai dan berlakon seperti kayu, tetapi kini segalanya telah terbukti. Bukan mahu berbangga tetapi ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah mengkritik lakonan saya dahulu.

Kata-kata mereka membuatkan saya bersemangat dan optimis untuk melakukan yang terbaik. Dalam pada itu, pengarah juga banyak membantu dan memberi tunjuk ajar serta nasihat bagi membentuk lakonan saya menjadi lebih baik.

Bagaimanakah penerimaan anda terhadap kritikan yang diberikan?

Tidak dinafikan kebanyakan kritikan tersebut mengguris hati dan membuatkan saya berasa kecewa. Namun, saya memandangnya dari sudut positif dan menjadikannya sebagai pembakar semangat lantas ingin membuktikan saya tidak seperti yang disangka.

Terima kasih juga kepada juri yang menilai lakonan saya dalam drama rantaian Mr. Boss Miss Stalker meskipun mengetahui pengiktirafan ini bakal mengundang pandangan negatif khalayak.



Apakah yang membuatkan anda berpendapat kemenangan tersebut akan dipertikaikan oleh peminat?

Perkara itu sememangnya lumrah dan akan berlaku dalam setiap bidang. Jadi, saya telah bersedia untuk menerima setiap kata-kata ‘manis’ peminat yang mempertikai kredibiliti lakonan dan membandingkan dengan calon lain iaitu Tiz Zaqyah (Akadku Yang Terakhir), Janna Nick (Biar Aku Jadi Penunggu), Nelydia Senrose (Pergilah Air Mata) dan Syatilla Melvin (Sha & Shah).

Tidak hanya anugerah Pelakon Wanita terbaik, drama tersebut turut membawa pulang trofi Telenovela Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Ashraf Muslim), Penulis Skrip Terbaik (Sofia J. Rhyland), Pengarah Terbaik (Heykal Hanifah), dan Penerbit Telenovela Terbaik (Saphire Screen Sdn .Bhd.). Adakah anda menjangkakan kemenangan tersebut?

Sejujurnya saya tidak menjangka drama tersebut berjaya meraih banyak trofi memandangkan naskhah lain yang dipertandingkan juga menarik. Syukur rezeki berpihak kepada kami. Pada saya, setiap daripada kami berusaha memberikan yang terbaik dan 100 peratus komitmen termasuk diri sendiri. Ia menjadi kejayaan yang membanggakan ditambah pula apabila dinilai oleh juri profesional dan bukan undian peminat.

Selepas kemenangan ini adakah anda akan bersikap selektif dalam soal pemilihan watak?

Tidak perlu menang anugerah untuk bersikap selektif. Sebelum ini saya sememangnya telah bersikap selektif kerana enggan membawakan corak karakter sama sepanjang masa. Itu bukan sahaja membuatkan khalayak bosan tetapi menyekat kemampuan saya untuk mempamerkan bakat sebenar.

Sebelum ini industri hiburan tempatan dikejutkan berita anda mengalami keguguran kandungan. Bolehkah kongsikan mengenai perkara itu?

Apa yang boleh dikatakan buat masa sekarang saya tidak lagi bersedih dengan perkara itu. Saya menerima ketentuan takdir namun, masih belum bersedia sepenuhnya untuk mengulas lanjut. Mohon maaf.

Memandangkan kita telah menghampiri tahun baharu, apakah azam atau harapan anda bagi 2018?

Harapan saya sama seperti orang lain. Pastinya kita mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya. Diharapkan peminat doakan yang terbaik dan saya juga akan mendoakan yang baik-baik buat kalian semua.

Adakah anda mempunyai sebarang perancangan untuk aktif dalam bidang lakonan pada tahun hadapan?

Buat masa sekarang saya ingin berehat seketika dan memberi fokus kepada keluarga terutama suami. Memang ada mendapat tawaran tetapi saya ingin menjalankan tanggungjawab sebagai isteri buat suami sebelum memikirkan tentang kerjaya.

Post a Comment

Previous Post Next Post