Adi Putra Bekas Isteri Ada Hak Lapor Polis


Pelakon Datuk Adi Putra berkata bekas isteri keduanya, Norshahida Zolkifly berhak untuk membuat laporan mengenai pemalsuan sijil pernikahan mereka.

Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 36, berkata, jika laporan tersebut sudah dilakukan, dia tidak akan berada pada malam ini (mungkin ditahan polis).

"Saya tidak ada komen. Saya adalah diri saya seperti mana umum kenal diri saya. Biarlah perkara itu berlalu dan itu hak dia.

"Kalau dah buat laporan polis, mungkin saya tak ada di sini dalam temu bual ini," katanya kepada mStar Online.


Adi Putra ditemuramah wartawan Izzat Khalizan.

Dia ditemui sewaktu malam pra tonton trailer filem dan single Makrifat Cinta di IRDKL Mall, Shah Alam, pada Rabu.

Menurut pelakon 1957 Hati Malaya itu, dia menganggap apa yang berlaku adalah satu ujian hidup sahaja.

"Perkara ini saya anggap sebagai ujian dalam kehidupan. Bila diuji, ia bermakna Allah sayang kita," katanya.

Pada 30 November lalu, bekas isteri kedua Adi, Norshahida, 34, membuat dua laporan di Balai Polis Nilai.


Menurut Norshahida, Adi memalsukan sijil nikah mereka pada awal Januari lalu untuk urusan visa dan perniagaan di luar negara.

Katanya, pelakon itu mengubah suai sijil nikah bersama bekas isteri pertamanya, Zuhaidah Yusof, 42, dengan meletakkan namanya dalam sijil nikah tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Azrul Hisham Mohd. Shaffei mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut dan siasatan sedang dijalankan.

Menerusi laporan mStar pada 23 Mac lalu, Adi mengesahkan dia tidak lagi mempunyai hubungan dengan kedua-dua isterinya.

Dia membuat pengumuman mengenai perpisahan itu menerusi laman Instagram.

Adi dan Zuhaidah berkahwin pada 14 April 2006 dan tidak dikurnaikan cahaya mata sebaliknya mempunyai seorang anak angkat Zara Adelia yang kini berusia lima tahun.

Adi kemudiannya berpoligami selepas menikahi Norshahida Dzolkifly, 33, pada 20 Jun 2016.

Post a Comment

Previous Post Next Post