Solat hajat untuk Elyana


Bertuah penyanyi Elyana kerana mempunyai ramai peminat yang bukan sahaja menyokong kerjaya seninya tetapi ketika beliau berjuang menentang penyakit kanser limfoma (kanser kelenjar) tahap empat dideritainya.

Ahad lalu, Elyana mengejutkan industri seni tanah air apabila mengumumkan bahawa beliau menghadapi penyakit tersebut sejurus selepas penyingkirannya di program Gegar Vaganza (GV) musim keempat, minggu kelima.

Berita mengejut itu disambut dengan tangisan oleh peminatnya.


“Memang 'fan' semua terkejut dan menangis kerana tak sangka artis yang mereka sayang, nampak 'happy go lucky', rupa-rupanya sedang bertarung dengan penyakit kanser,” jelas Presiden Elyana Official Fan Club (Elo FC), Achu Debom.

Susulan itu katanya, selepas tamat GV, Elo FC duduk berbincang, lalu tercetus idea untuk mengadakan pelbagai aktiviti bagi membantu Elyana.

“Mula-mula sekali kami rancang nak buat solat hajat mendoakan kesembuhannya. Kemudian kami nak buat program cuci kereta mengutip dana, maklumlahkan kos perubatan tinggi.

“Akhir sekali, Elyana sendiri merancang untuk bertemu dengan pesakit-pesakit kanser yang lain bagi memberi kata-kata semangat kepada mereka. Kami nak turut serta dalam program tersebut,” katanya.


Achu berkata, Elyana ada berpesan supaya apa pun ingin dilakukan, jangan sampai membebankan diri.

“Kami tak rasa terbeban pun malah kami rasa 'happy' dapat membantu Elyana,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post