Intan membuat pendedahan mengenai suaminya sudah berkahwin dengan pelakon terkenal yang dipercayai Izreen.
Isteri kepada pemuzik bebas program Gegar Vaganza yang dikenali sebagai Uda menerima kehadiran seorang pelakon terkenal sebagai madunya.
Wanita berkenaan yang dikenali sebagai Intan mendakwa mengetahui tentang perkara ini dua minggu lepas dan reda dengan keputusan suaminya untuk berpoligami.
"Saya terkejut apabila mendapat tahu perkara ini pada dua minggu lalu dan tidak sangka kerana hubungan kami baik sebagai suami isteri.
"Pada mulanya saya tidak terima namun disebabkan kasih sayang kepada suami dan anak, saya reda dan terima takdir yang telah dientukan,” kata Intan.
Izreen dilaporkan bakal berkahwin dengan pemuzik yang dikenali sebagai Uda.
Pendedahan tersebut dilakukan menerusi temu bual secara langsung bersama sebuah portal berita pada Khamis.
Rumahtangga Intan dan Uda dibina empat tahun lalu. Mereka dikurniakan dua cahaya mata masing-masing berusia tiga tahun dan 11 bulan.
Dalam pada itu, Intan tidak menolak kemungkinan apa yang berlaku ini berpunca daripada kekurangan dirinya sebagai seorang isteri.
"Dia suami yang baik. Kalau bab anak-anak, dia bertanggungjawab. Saya yakin dia mampu untuk berlaku adil.
"Susah nak terima. Mungkin salah saya, tak pandai jaga suami,” ujarnya.
Terdahulu menerusi laporan pada Rabu, aktres Izreen Azminda dikatakan bakal berkahwin dengan pemuzik yang dikenali sebagai R atau nama timangannya, Uda.
Menurut sumber, satu majlis doa selamat akan diadakan oleh Izreen pada 7 Disember depan di Damansara Perdana kira-kira pukul 8 malam.