Jimmy atau nama sebenarnya Azizan Hamid meninggal dunia ketika tidur pagi tadi.
Pemain gitar bass bagi kumpulan Samudera, Jimmy atau nama sebenarnya Azizan Hamid, 49, dimaklumkan telah meninggal dunia ketika tidur pagi tadi.
Menurut Pengurus Samudera, Mahadi Latif, ketika kejadian kesemua anggota kumpulan Samudera berada di sebuah homestay di Rengit Batu Pahat sempena Samudera Titian Hasrat Road Tour.
"Malam tadi kumpulan Samudera ada show di Rengit Batu Pahat, destinasi terakhir road tour.
"Selepas itu, pagi tadi lebih kurang dalam jam 7-8, masa nak kejutkan untuk sarapan dan balik ke rumah, tengok-tengok sudah tak bernafas lagi.
"Punca kematian tidak diketahui lagi kerana malam tadi tidak ada apa-apa pula yang berlaku.
"Sekarang jenazah masih berada di Hospital Batu Pahat," katanya.
Jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Salak Selatan untuk dikebumikan.
Arwah merupakan antara pengasas bagi kumpulan Samudera yang popular era 90-an. Antara lagu popular adalah Titian Hasrat, Salam Sejahtera dan banyak lagi.