Nabila Huda lebih suka naskhah berat, mencabar


Nabila Huda mula menyertai industri ketika berusia 17 tahun pada 2001, namun kelibat anak kepada rockers terkenal, Amy Search ini hanya mula menyerlah ketika membintangi filem Akhirat, tujuh tahun kemudian.

Sama seperti kebanyakan pelakon baru lain, wanita berusia 33 tahun ini juga tidak terlepas melalui proses pembelajaran dan transisi lakonan daripada zero kepada heroin yang begitu disegani.

Akui Nabila yang mesra disapa Abil, setiap peluang tidak pernah dipersiakan dan dia bersyukur kerana mendapat kepercayaan penerbit serta pengarah untuk mencuba pelbagai karakter.

"16 tahun berada di dalam industri seni dan kerja keras yang saya lakukan sepanjang tempoh itu membuatkan saya kini berada dalam zon selesa.



"Tapi bukan nak demanding atau besar kepala, bila kita sudah mendapat kepercayaan orang, mudah untuk kita bekerja dengan orang yang kita selesa.

"Setakat ini Alhamdulillah, saya dapat apa yang saya mahu, karakter, skrip yang bagus dan team bekerja yang hebat.

"Saya juga sudah mencuba pelbagai jenis watak tetapi naskhah berat dan mencabar lebih menjadi pilihan saya," katanya ketika ditemui pada malam gala filem Rempit Sampai Langit, baru-baru ini.

Dia juga sedia berkongsi ilmu dan pengalamannya dengan bintang baru namun turut bersimpati kerana kebanyakan mereka lebih bersikap 'show-off'.

"Bila dah lalui macam-macam sepanjang berada dalam industri seni, saya hanya mampu ketawa dengan sikap sesetengah bintang baru kerana cepat selesa dan bangga dengan populariti singkat yang mereka kecapi," katanya.

Bagaimanapun, dia bangga kerana sesetengah pelakon baru yang betul-betul komited merendah diri dan sentiasa mahu belajar serta menuntut ilmu dengan pelakon lama yang secara tidak langsung boleh berkongsi pendapat.

"Bagi saya, bila kita masih baru, kutiplah seberapa banyak pengalaman yang boleh dan jangan cepat selesa. Kena ingat, cepat kita naik, cepat jugalah kita turun kalau tak perbaiki diri," ujarnya lagi.

Berkongsi perkembangan terkininya, Nabila berkata, dia baru selesai menjalani penggambaran telenovela Dendam Aurora selepas lapan bulan terlibat dengan pembikinan drama bersiri berkenaan.

Selain itu, filem terbaru lakonannya, Rempit Sampai Langit akan ditayangkan di pawagam bermula 23 November ini.

Turut sama membintangi filem arahan Silver dan terbitan Suhan Movies ini adalah Ajak Shiro, Reen Rahim, Cristina Suzanne dan Tauke Jambu.

Berkongsi pengalamannya bekerja dengan pelawak seperti Ajak dan Tauke, Nabila berkata, dia pada mulanya tidak yakin untuk berlakon dalam filem komedi.


Bagaimanapun, katanya penerbit filem berkenaan, Datuk Rosyam Nor meyakinkannya.

"Saya memegang watak Comel, seorang gadis anak yatim yang bekerja di kedai bunga dan berkawan baik dengan Kudin, lakonan Ajak.

"Pada awalnya saya memang tak yakin sebab dah biasa berlakon genre berbeza dan serius. Tapi Datuk Rosyam yakinkan saya dan beritahu saya tidak perlu buat lawak.

"Tapi, agak mencabar juga bila kerja dengan pelawak sebab kita sentiasa rasa nak gelak. Sehinggakan ada satu babak, saya puas tahan gelak dan terpaksa pandang ke bawah.

"Bagi saya filem ini tampil dengan jalan cerita yang berbeza dan sempurna untuk sebuah filem komedi," ujarnya yang bakal memulakan penggambaran filem bergenre epik, Januari depan.

Rasa serik?

Nabila akui tidak sabar bercuti bersama suami dan anak tercinta, Keisha Laila selepas melalui tempoh penggambaran yang panjang bersama produksi Dendam Aurora.

"Kalau boleh saya tak mahu dah ambil long series, sebab rasa penat sangat. Tapi bila dah habis shooting, rasa rindu pula dengan team produksi. Bayangkan, lapan bulan bersama mereka, dah macam satu rutin.

"Tak sabar nak bercuti bersama suami dan anak. Lepas habis shooting filem Januari depan saya rancang bercuti," ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post