Melly Matius sedia kahwin tahun depan


Selain Mell, Sakura Band turut dianggotai oleh Hanif (berdiri belakang), Akai (kiri) dan Ali.

Vokalis kumpulan Sakura Band, Melly Matius atau mesra disapa sebagai Mell tidak menafikan salah satu punca dia memeluk agama Islam kerana ingin mendirikan rumah tangga.

Artis Mell Sakura Band yang hadir pada sidang akhbar Khas Hari Terbuka SLIM 2017 di Bunga Emas Restoutan, Royal Chulan, Jalan Conlay, di sini hari ini. Gambar: JEFFRI IRAN. Pemberita: HADI (Mejha Am, DIGUN (Hiburan), DILA (Hib.Kosmo) dan JULIA (Rencana Kosmo).

Mengikut perancangan wanita berusia 29 tahun itu, dia bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hatinya, Muhammad Safwan Hasnan, 30, pada tahun depan.

Begitupun, dia masih tidak mempunyai sebarang tarikh atau perancangan khusus untuk majlis berkenaan.

Kata Mell, masih banyak perkara yang perlu dia pelajari tentang Islam terutama melibatkan bacaan al-Quran dan solat. Mell turut merancang mengikuti kelas agama secara serius sekiranya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti seni.

Tidak dinafikan, kesibukan aktiviti seni selain bakal melancarkan single baharu bertajuk Magic serta pembikinan album penuh menjadikan Mell ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya sebelum menggalas tanggungjawab sebagai isteri.

Pada masa sama, Mell turut bersyukur apabila ahli keluarga dan kenalan terdekat memberi sokongan tentang keputusannya memeluk agama Islam. Tindakannya itu turut dipersetujui oleh ibunya, Nur Batrisyah yang telah memeluk agama Islam beberapa tahun lalu.

Hadir ke sidang akhbar Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) baru-baru ini, Mell turut teruja apabila diberi peluang terlibat menjayakan aktiviti tersebut yang akan berlangsung di Sabah pada 18 November ini (esok).

KOSMO: Alhamdulillah atas berita penghijrahan Mell yang kini telah memeluk agama Islam. Boleh kongsi bagaimana kehidupan anda sekarang?

MELL: Syukur, segala urusan untuk memeluk agama Islam dipermudahkan. Sejujurnya, saya terlebih dahulu telah memeluk agama Islam sebelum mengumumkannya kepada umum pada 10 Oktober lalu. Saya memilih untuk mengumumkannya pada majlis hari jadi kerana ia seperti kelahiran semula dan masa yang sesuai untuk dikongsikan kepada khalayak. Alhamdulillah, mereka memberikan reaksi positif terhadap keputusan saya itu.

Bilakah anda benar-benar memeluk agama Islam?

Sejak beberapa bulan lalu sebelum mengumumkannya pada hari ulang tahun kelahiran. Tiada apa yang perlu dijelaskan dengan terperinci kerana cukup khalayak mengetahui saya kini telah beragama Islam.

Sekiranya tidak keberatan, apakah yang mendorong anda untuk memeluk agama Islam?

Pertama ialah ibu saya sendiri, Nur Batrisyah. Saya melihat ibu solat dan memakai tudung menyebabkan saya terdetik untuk memeluk agama Islam.

Kadangkala saya juga melihat ahli kumpulan Sakura Band menunaikan solat membuatkan hati ini terdetik untuk melakukan perkara sama.

Pada masa sama, saya merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki beragama Islam, namun perancangannya masih terlalu awal untuk diperkatakan.

Adakah anda menghadiri sebarang kelas agama pada masa sekarang?

Saya ada merancang untuk menghadiri kelas agama untuk memahirkan diri dengan bacaan al-Quran dan solat.

Namun, kesibukan jadual kerja membataskan untuk saya mengikut kelas secara teratur. Saya tetap akan berusaha untuk mengikuti kelas secara serius.

Setelah memeluk agama Islam, adakah anda merancang untuk tampil dengan imej berhijab?

Hasrat untuk bertudung itu ada tetapi saya ingin mempelajari tentang agama Islam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan drastik.

Saya enggan sekiranya keputusan berhijab itu bersifat sementara disebabkan masih belum bersedia sepenuhnya.

Insya-Allah, mohon doa yang terbaik buat saya dan diharapkan urusan menjadi individu lebih baik dipermudahkan.

Sebelum ini anda ada menyebutkan tentang bakal mendirikan rumah tangga. Bolehkah anda kongsikan mengenai perkara itu?

Sekiranya tidak mempunyai sebarang halangan, saya akan berkahwin dengan Muhammad Safwan Hasnan, 30.

Mengikut perancangan, kami bercadang mendirikan rumah tangga pada tahun depan tetapi sebarang persiapan masih belum dilakukan lagi.

Saya merancang untuk melakukan perkahwinan tanpa perlu bertunang. Namun, segalanya mengikut kepada keadaan dan perancangan masa depan.

Selain kisah peribadi, bolehkah anda kongsikan mengenai perancangan kerjaya?

Buat masa ini, kami dalam proses mempromosikan single baharu bertajuk Magic. Selain itu, kami sedang mempersiapkan material untuk menerbitkan album penuh pada tahun depan.

Bolehkah anda ceritakan sedikit mengenai penglibatan dalam program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)?

Acara tersebut bakal berlangsung di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, (ILPKK), Sepanggar, Sabah.

Sebagai selebriti saya mewakili Sakura Band berasa gembira dalam program berbentuk kemasyarakatan seperti ini.

Ia bukan sekadar dapat menarik pengunjung ke acara tersebut tetapi secara tidak langsung membuka mata mereka untuk mengubah nasib dan masa depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post