Penyanyi Mark Adam memberitahu rezekinya dalam bidang lakonan semakin murah apabila dia kerap menerima beberapa tawaran untuk drama dan filem.
Mark, 38, berkata, dia menggunakan peluang yang datang untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dalam bidang lakonan.
"Alhamdulillah banyak tawaran berlakon yang datang sejak kebelakangan ini. Buat masa ini saya pilih yang betul-betul sesuai.
"Saya juga semakin seronok berlakon terutamanya bila dapat bergandingan dengan pelakon lama dan berpengalaman," ujarnya.
Mark atau Fikri Mark Adam, 38, ditemui pada sidang media filam Pailang JB baru-baru ini.
Bercakap tentang filem Pailang JB, Mark berkata, dia teruja untuk menjalani penggambaran filem aksi berkenaan.
Katanya, dia juga kini sedang belajar bercakap bahasa Melayu dengan dialek Johor.
"Ini filem aksi pertama saya berlakon dan rasa tidak sabar untuk memulakan penggambaran Disember ini.
"Selain itu, saya juga belajar cara orang Johor bercakap kerana walaupun bahasa sama seperti di Kuala Lumpur tapi mereka ada style cakap tersendiri," ujarnya.
Filem terbitan Simpang 3 Production itu akan diarahkan oleh Ryzal Yusoff dan akan memulakan penggambaran pada Disember depan.