Nabila Razali jelaskan status hubungannya dengan pelakon Aedy Ashraf.
Penyanyi dan pelakon Nabila Razali menjelaskan status hubungannya dengan pelakon Aedy Ashraf hanyalah sekadar teman.
Menurut Nabila, 25, dia masih dalam peringkat mengenali hati budi pelakon tampan tersebut dan belum memikirkan lagi mengenai cinta.
"Kami baru kenal kira-kira sebulan lalu dan masih dalam proses mengenali hati budi.
Foto yang di muat naik di laman Instagram Nabila ini mendapat perhatian peminat.
"Tiada apa-apa hubungan istimewa pun, buat masa ini hanya berkawan, belum sampai tahap bercinta lagi," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.
Terdahulu, menerusi laman Instagram miliknya, Nabila Razali ada memuat naik foto dia bersama Aedy di sebuah restoran.
Bagaimanapun, Nabila memilih untuk menutup ruangan komen gambar tersebut dan membiarkan peminat terus berteka-teki mengenai sejauh mana hubungan mereka.
Nabila menjelaskan dia bertindak demikian kerana tidak mahu peminat bertelagah dan mengeluarkan kata-kata kesat di laman sosial.
Aedy Ashraf. Foto IG: @aedyxashraf
"Saya tutup ruang komen kerana tak mahu peminat bergaduh sesama sendiri sehingga mengeluarkan kata-kata kesat.
"Bagi saya laman sosial adalah ruangan untuk saya berkongsi mengenai karier dan perjalanan aktiviti harian saya.
"Tak seronoklah pula kalau baca komen-komen negatif sebab laman sosial ini turut digunakan oleh pelbagai lapisan usia," katanya.
Foto tersebut mendapat hampir 30,000 tanda suka dan tular di laman sosial Facebook dan Twitter.
Nabila akui selesa berkawan dengan Aedy Ashraf.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Pematah Hati ini turut mengakui selesa berkawan dengan Aedy kerana kematangan lelaki tersebut.
"Aedy matang, gentleman, periang dan senang diajak berbual. Sejujurnya, buat masa ini saya selesa berkawan dengannya," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nabila sedang menjalani penggambaran drama Matahari Terang Lagi yang bakal bersiaran di RTM tidak lama lagi.