Kejutan kanser tahap 4 Elyana


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, tetapi itulah realiti perit yang sedang ditelan oleh Erneelya Elyana Emrizal atau lebih dikenali sebagai Elyana.

Ahad lalu, penyanyi berusia 30 tahun itu mengejutkan seluruh dunia hiburan tanah air apabila membuat pengumuman terbuka tentang penyakit kanser limfoma atau kelenjar tahap empat yang dideritai sejak tujuh tahun lalu.

Ketika itu, kerdipan lampu Dewan Sri Putra, Bukit Jalil seakan-akan hilang cahaya. Semuanya menjadi suram. Semua mata yang tertancap ke wajahnya berkaca. Baik penonton di dewan mahupun di rumah, masing-masing terkesima dan hilang kata-kata.

Ternyata, pengisytiharan duka pada hujung konsert mingguan Gegar Vaganza (GV) itu seribu kali ganda lebih mengejutkan berbanding penyingkiran nama Elyana sendiri yang diumumkan peserta tersingkir pada minggu keempat.

“Saya ingin beritahu kepada semua bahawa saya adalah pesakit kanser tahap empat. Saya masih boleh berdiri di sini dan boleh buat apa yang hendak dilakukan jika kuat dan mahu,” ujar Elyana sejurus selepas diumumkan terkeluar.

Pilu bercampur sayu namun mengenali Elyana, dia seorang anak seni yang happy go lucky dan tidak pernah lekang dengan senyuman.

Dalam kalangan media, dia disifatkan sebagai seseorang yang ‘gila-gila’. Tujuh tahun menanggung derita dan menyimpan rahsia terbesar dalam kamus hidupnya, pelantun lagu Kalis Rindu itu akhirnya menemui kekuatan untuk berkongsi realiti tersebut dengan senyuman di bibir.

“Saya seorang yang tidak suka berkongsi perkara sedih dengan semua orang. Bagaimanapun, pada satu tahap, saya sudah tidak dapat menahan. Kalau anda semua perasan, saya selalu berkongsi kata-kata positif di laman sosial. Itulah yang boleh saya beritahu kepada orang untuk menggambarkan perasaan saya.

“Justeru, pada malam ini (Ahad), rasanya saya telah menghampakan para peminat. Sejujurnya, saya menyertai GV4 kerana peminat. Penyakit ini pun, rasanya tidak patut lagi disembunyikan kerana mereka (peminat) banyak memberikan sokongan. Tidak sangka masih ada lagi orang yang sayangkan saya,” ujar Elyana.

Bulat hati membuka lipatan kehidupan yang selama ini tersimpan kemas, Elyana menyambung cerita. Pada bening matanya, masih bersinar semangat yang tidak pernah kalah dalam perjuangan.

“Sudah tujuh tahun saya melawan penyakit ini dan berpuluh-puluh rawatan kemoterapi telah saya jalani. Bermacam-macam ubat juga telah saya telan.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini, saya masih diberikan nafas oleh Allah S.W.T,” tutur wanita yang menikahi Khairul Anuar Hussin sejak November 2010 itu optimis.


Tempoh setahun

Menyelak perjalanan menyakitkan yang telah dilalui, Elyana mula didiagnosis menghidap kanser sejak tujuh tahun lalu .

Ketika anak tunggalnya, Cinta Sumaiyah yang kini berusia enam tahun masih kecil, dia juga langsung tidak menangisi takdir namun mengakui berdepan kemurungan. Bagaimanapun, Elyana reda dengan ketentuan Ilahi.

“Saya pasrah. Sewaktu pertama kali diberitahu doktor tentang kanser, penyakit saya berada pada tahap kedua dan anak saya masih kecil.

“Saya tidak menangis langsung kerana reda dengan ‘bahagian’ hidup saya ini.

“Tetapi, kadang-kadang tipulah kalau saya kata tidak murung langsung. Lagi-lagi saya seorang perempuan yang perlu kelihatan cantik dan menyanyi untuk mencari duit.

“Saya sedar bahawa saya harus kuat untuk dapat apa yang dimahukan,” katanya lagi.

Putus asa
Jelas Elyana, apabila penyakit tersebut ‘menyerang’, badannya akan menjadi lemah dan perkara paling digeruni adalah untuk berdepan waktu malam.

“Penyakit ini membuatkan badan saya lemah dan tidak bertenaga. Ada juga kesan sampingan terutama apabila menyanyi, namun sehingga kini, saya masih boleh menyanyi.

“Apa yang paling saya takut adalah berdepan waktu malam. Saya takut tidak bangun lagi pada keesokan pagi. Adakalanya, pada waktu malam juga jantung saya seperti terhenti kerana sel kanser sudah merebak di jantung, paru-paru dan seluruh badan.

“Jadi, setiap hari, saya menghargai setiap momen bersama orang yang saya sayang,” terang Elyana menahan sebak.

Kemoterapi mungkin berbunyi mudah, namun bagi Elyana, dia mengakui pernah berputus asa dengan rutin rawatan yang harus dijalani itu.

Kata Elyana: “Ketika penyakit berada pada tahap kedua, saya berhenti mendapatkan rawatan kemoterapi. Doktor memarahi dan menelefon suami mengatakan saya hanya mempunyai tempoh setahun sahaja untuk hidup.

“Ketika itu memang tertekan namun saya tidak tunjuk kepada suami kerana tidak suka berkongsi perasaan yang tidak seronok. Saya cabar diri untuk pulih tanpa kemoterapi dan mencuba bermacam jenis ubat dari dalam serta luar negara.

“Sekarang saya masih berubat. Rawatan kemoterapi memerlukan kos yang amat tinggi. Kalau duit habis, saya berehat sekejap. Apabila ada modal, saya kembali berubat. Hasilnya masih sama jadi saya percayakan Allah sahaja kerana yakin bahawa Dia sahaja yang mampu mengubati penyakit ini.”

Sebelum menggulung bicara, ditanya alasan dirinya bertanding dalam GV4 sedangkan dirinya menderita penyakit kanser, Elyana mempunyai jawapan tersendiri.

“Doktor memang tidak sarankan saya menyertai GV4 namun saya berkeras demi peminat. Seperkara lagi, saya mahu menunaikan impian untuk menyanyi dalam medium atau visual yang cantik.

“Memang sudah lama, kali terakhir saya menyanyi di pentas besar dan cantik adalah pada Anugerah Juara Lagu 2008. Sudah lama saya teringin. Alhamdulillah, impian itu tercapai,” tutup Elyana.

Meruntun jiwa, namun itulah kenyataannya. Elyana masih boleh tersenyum, sedangkan doktor pernah memberitahu bahawa dia hanya punya tempoh hidup selama setahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post