Kaka Azraff Lirik beri motivasi


Kembali adalah buah tangan terbaru Kaka Azraff selepas kali terakhir muncul menerusi single solo, Terima Kasih tahun lalu.

Secara ringkasnya, Kembali yang dihasilkan sepenuhnya oleh The Good Fellas ini masih mengekalkan identiti muzik Kaka seperti lagunya sebelum ini.

Bezanya, ada sedikit kematangan dalam lagu Kembali, sekali gus jelas dapat dilihat penghayatan oleh Kaka sendiri tatkala menyampaikan lagu berentak pop moden yang terarah kepada R&B ini.

Dari segi susunan muzik, tidak dapat dinafikan ia mampu berdiri sebaris dengan muzik luar negara dan pada masa sama disuntik sedikit elemen beat ala 1990-an.

Dari segi lirik, Kembali bercerita mengenai kebangkitan semula seseorang selepas kecundang dalam percintaan.

“Lagu ini sangat dekat dengan saya. Ia umpama kata-kata semangat untuk diri dan harapan saya supaya semua yang mendengar akan dapat rasakan serta menerima mesej yang saya sampaikan,” katanya.

Menurutnya, walaupun lagu ini tidak terlalu mencabar, ada sedikit kelainan dari sudut lantunan vokal.

“Agak mencabar dari segi pengawalan vokal dan sebutan setiap perkataan dalam lagu ini. Saya cuba sampaikan dengan hati,” katanya.

Video muzik Kembali juga sudah mula dilancarkan dan dimuat naik di YouTube pada 27 Oktober lalu dan sehingga kini mencecah jumlah tontonan lebih 20,000.

Menariknya, video muzik ini menampilkan Bront Palarae sebagai teraju utama di samping menyaksikan Kaka beraksi dengan seni mempertahankan diri.

“Ketika berbincang, nama Bront menjadi pilihan pertama saya kerana memang meminatinya dan yakin dia adalah pelakon yang paling sesuai.

“Cabaran untuk saya adalah untuk melakukan aksi seni mempertahankan diri muay thai memandangkan saya tidak ada asas dalam seni mempertahankan diri itu,” katanya.

INFO:

LAGU: Kembali
PENYANYI: Kaka Azraff
CIPTAAN & LIRIK: The Good Fellas
PENERBIT: Alif Abdullah
EDARAN: Warner Music Malaysia

Post a Comment

Previous Post Next Post