Aziz Harun Jangan ambil masa lama


Bermula dengan single pertama berjudul Senyum, penyanyi muda berbakat besar Aziz Harun nekad mengembangkan karier nyanyiannya di Malaysia.

Ternyata, kehadiran penyanyi kelahiran Brunei Darussalam ini diterima peminat tempatan apabila muzik video single keduanya, Beautiful ditonton lebih 1.2 juta kali di YouTube.

Malah, lagu Beautiful juga pernah dinobatkan sebagai Lagu Kolaborasi Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2016.

Selain itu, single ketiga Aziz berduet dengan Elizabeth Tan berjudul Mama turut meniti di bibir peminat.

September lalu, Aziz, 19, kembali dengan single keempat berjudul Jangan.

Menurutnya, single terbaru itu mendapat sentuhan komposer terkenal iaitu Faizal Tahir, Ezra Kong, Mike Chan dan Romeo.

“Saya mengambil masa yang lama untuk muncul dengan single keempat kerana perlu menamatkan pengajian peringkat A-Level di Brunei.

“Kini, barulah saya boleh fokus menyanyi semula,” katanya.

Menurut Aziz, single terbarunya itu mempamerkan genre balada yang lebih matang berbanding single terdahulu.

“Seiring dengan peningkatan usia, lagu saya juga lebih matang.

“Saya nampak industri muzik sekarang lebih mengetengahkan lagu balada seperti dendangan penyanyi popular Aiman Tino dan Haqiem Rusli,” katanya.

Mengulas lanjut single Jangan, Aziz berkata, ia menceritakan hubungan cinta jarak jauh yang berakhir apabila kekasih melanjutkan pelajaran.

“Lagu ini bukan kisah cinta saya sebaliknya ia berdasarkan pengalaman rakan-rakan.

“Saya mengambil masa empat hari merakamkan lagu ini. Ia sedikit mencabar tetapi saya sudah berusaha berikan yang terbaik ketika proses rakaman sekali gus memuaskan hati barisan komposer terutama Faizal,” katanya.

Aziz juga bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Faizal yang juga idolanya selama ini.

“Tidak dinafikan ketika bekerja Faizal agak garang dan cerewet. Namun begitu, saya faham dia mahukan yang terbaik,” katanya.

Aziz mengakui teruja apabila Jangan yang dimuat naik di YouTube pada 21 September lalu ditonton kira-kira 500,000 kali.

“Saya juga gembira lagu ini terpilih sebagai runut bunyi drama bersiri popular Awak Suka Saya Tak? terbitan Global Station Sdn Bhd yang sudah bersiaran di kaca televisyen.

“Drama ini secara tidak langsung mempromosikan lagu baru saya,” katanya.

Jangan edaran Warner Music (M) Sdn Bhd boleh dimuat turun di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, JOOX, Yonder Music dan KKBox.

Tidak gentar dengan persaingan

Sebagai penyanyi luar, Aziz lebih suka melihat persaingan dari sudut positif terutama dengan kehadiran ramai penyanyi muda popular.

“Setiap penyanyi ada kelebihan tersendiri. Saya percaya dengan bakat serta kelebihan menyanyi sambil bermain gitar.

“Saya juga akan bercuti selama setahun daripada pengajian untuk fokus teradap kerjaya di Malaysia.

“Pada masa sama saya akan berulang-alik ke Brunei untuk memenuhi undangan persembahan di sana,” katanya.

Apapun, anak bongsu daripada enam beradik ini juga tetap meletakkan pelajaran sebagai keutamaan.

“Saya menceburi bidang ini kerana minat dan bakat. Namun, saya tidak sesekali melupakan janji terhadap keluarga yang mahu melihat saya menyambung pengajian di universiti.

“Insya-Allah saya akan melanjutkan pengajian di Malaysia atau di pusat pengajian yang ada program berkembang di United Kingdom sebagai jaminan masa depan,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post