Pengalaman lama Ikka Razman dalam bidang nyanyian sudah mencukupi untuk meletakkan namanya sebaris dengan penyanyi lain.
Dia pernah menjadi vokalis kumpulan Gelombang Biru, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama tujuh tahun.
Selain memiliki enam single, Ikka pernah mencipta nama menerusi lagu duet Keluhan Cinta bersama Mamat Exist tiga tahun lalu.
Namun ketika karier nyanyiannya bertambah baik, penyanyi itu berdepan ujian apabila terbabit dengan masalah besar bersama pengurusnya.
Ia bukan saja menyebabkan nama baiknya tercalar, malah Ikka terpaksa membuat keputusan sukar dengan berehat daripada bidang nyanyian selama dua tahun.
"Selepas kes dengan bekas pengurus, saya sangat kecewa dan mula kehilangan keyakinan diri.
"Disebabkan itu, peminat mula hilang kepercayaan terhadap saya," katanya ketika ditemui di Balai Berita, baru-baru ini.
Akibat terlalu tertekan memikirkan masalah yang dihadapi, penyanyi Kerana Cinta Abadi ini memberitahu kesihatannya turut terjejas.
"Saya mula hilang fokus kerana asyik berdepan pelbagai gangguan sehingga sukar memberi komitmen dalam kerjaya," katanya.
Enggan membiarkan kisah lampau menghancurkan karier nyanyiannya, Ikka nekad bangkit semula dan tampil dengan album mini berjudul Tak Rela Disakiti.
"Sebelum itu, saya memperkenalkan single baru berentak balada pop Kerana Cinta Abadi pada Disember lalu.
"Selepas ini, saya tidak akan menghilangkan diri lagi dan akan tabah berdepan cabaran bakal dihadapi," katanya.
Kata Ikka, dia bersyukur apabila album itu mendapat sambutan baik ketika membuat persembahan.
"Album ini mengumpul lima lagu yang mengabungkan irama tradisional moden dan cha-cha. Ia sangat sesuai untuk majlis keramaian dan acara.
"Alhamdulilah, album diterima baik pendengar dan semangat untuk terus menyanyi kembali apabila lebih 2,000 penonton datang menyaksikan persembahan pada acara yang berlangsung di Johor Bahru, baru-baru ini.
"Saya ingat sudah tiada peminat. Saya berasa terkejut apabila melihat peminat datang memberikan sokongan," katanya.
Berkongsi perkembangan karier nyanyiannya pula, Ikka merancang menghasilkan lagu duet bersama penyanyi baru.
"Bagi lagu itu, saya juga akan mencari komposer baru dan mungkin akan mencuba lagu rock pula.
"Sekarang, saya sibuk memenuhi pelbagai undangan persembahan di karnival dan majlis," katanya.
Mengimbas latarnya, Ikka pernah dinobatkan juara pertandingan Lagu Aidilfitri Klasik Nasional pada 2010.
Pada tahun sama, dia memperkenalkan single Hawa ciptaan Rosli Ahmad dan turut menjuarai Kajang Idol 2010.