Pelakon, Idris Khan, 29, terkejut apabila namanya dikaitkan dengan khabar angin pelakon popular menghamilkan bekas kekasih.
Bagi pelakon Duda Terlajak Laris, tuduhan itu mengarut dan hairan mengapa namanya menjadi sasaran.
"Mereka yang mengaitkan nama saya seperti tiada kerja lain dan sengaja hendak melariskan cerita. Saya malas hendak layan," katanya.
Idris yang kini sibuk dengan persiapan perkahwinan dengan gadis Maghribi, tidak fikir namanya jadi sasaran selepas dilaporkan akan berkahwin 20 Januari tahun depan.
"Bagi saya mereka memang tidak ada kerja," katanya marah.
Dalam laporan satu portal, wanita berusia 20-an mendedahkan melahirkan anak hasil hubungannya dengan pelakon popular.
Katanya, pelakon itu enggan bertanggungjawab ketika dimaklumkan dirinya hamil tiga bulan dan mengelak untuk bertemu bagi berbincang tanggungan kewangan ke atas bayi berkenaan.
Sebaik saja berita itu tersebar, netizen membuat tekaan pelakon dimaksudkan hingga beberapa nama dikaitkan termasuk Idris.