Isteri Fad selamat melahirkan bayi perempuan pada pagi Ahad.
Isteri kepada pelawak Fad Bocey telah selamat melahirkan cahaya mata perempuan di Pusat Perubatan Darul Ehsan Shah Alam, Selangor, pagi Ahad.
Menurut Fad atau nama sebenarnya Fadzlie Nizam, 26, isterinya, Nur Syahirah Abdul Rahman, 23, telah melahirkan bayi ketiga mereka pada jam 6.57 pagi.
Foto yang dimuat naik di laman instagram @fadbocey.
"Alhamdulillah, isteri saya selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.12 kilogram pagi tadi (Ahad).
"Syukur, semuanya dipermudahkan. Isteri dan bayi sihat serta baik-baik sahaja," katanya kepada mStar Online.
Terdahulu, menerusi laman Instagram Fad, dia ada memuat naik sekeping foto memaklumkan mengenai kelahiran anak ketiganya itu.
"Bismillahirahmanirrohim. Syukur alhamdulillah pada tanggal 19 November, hari Ahad yang bahagia ini, kami selamat menyambut puteri kami.
"Yeay, mommy dah ada kawan! Terima kasih mommy, love u so much @syaheeraarahman," tulisnya di laman tersebut.
Foto tersebut mendapat lebih 70,000 tanda suka dan turut dibanjiri ucapan tahniah.
Antara rakan artis yang turut meninggalkan komen tahniah adalah Shuib Sepahtu, Fizo Omar dan Danial Zain.
"Tahniah bang, Alhamdulillah," tulis Danial Zain.
"Alhamdulillah, Syukran ya Fad," komen Shuib pula.
Fad dan Syahirah berkahwin pada 14 Mac 2015 di Jitra, Kedah.
Sebelum ini, isteri Fad melahirkan anak kembar lelaki di pusat perubatan sama pada 11 Disember 2015 secara pembedahan.
Pasangan kembar yang diberi nama Favian Adrazin Hayyan dan Favian Adrazin Zayyan kini sudah berusia dua tahun.