Pelakon Malaysia yang kini membina nama di Indonesia, Bront Palarae, 39, dicalonkan Aktor Pendukung Terbaik melalui filem Pengabdi Setan di Anugerah Filem Tempo (FFT).
Ia diumumkan semalam dan majlis anugerahnya bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia, 27 November ini.
Bront atau Nasrul Suhaimin Saifuddin menyifatkan pencalonan itu pencapaian peribadinya sejak meluaskan kerjayanya di seberang, tahun lalu.
Katanya, ia juga hadiah buat pasukan produksi dan pelakon yang menjadikan penggambaran filem itu satu pengembaraan menyeronokkan.
“Terima kasih kepada pengarah, Joko Anwar yang cukup berani membuat panggilan jam 8 pagi awal tahun lalu untuk mengajak saya menyertai filem itu,” katanya.
Mac lalu, Chew Kin Wah menang Pemeran Pendukung Pria Terbaik di Anugerah Filem Box Office Indonesia (IBOMA 2017) melalui filem Che Toko Sebelah.
Bront dan Kin Wah sama-sama melebarkan sayap ke Indonesia tahun lalu melalui filem komedi, My Stupid Boss dan kali ini berentap di FFT.
Kin Wah dicalonkan melalui Che Toko Sebelah manakala pelakon lain, Yayu Unru (Posesif), Fuad Idris (Bid’ah Cinta) dan Yono Daryono (Turah).
Pengabdi Setan yang ditayangkan di Indonesia September lalu, mendapat sambutan hebat dan bakal ditayangkan di sini Khamis ini.