Bella Astillah Kisah lalu, lupakan saja


Bella Astillah akui tidak mahu lagi menoleh ke belakang sebaliknya ingin terus merai kebahagiaan dengan suami dan anaknya.

Julai lalu dunia hiburan tempatan dikejutkan dengan berita mengenai penyanyi Aliff Aziz ditahan oleh polis selepas mencederakan isterinya, Bella Astillah yang ketika itu masih dalam tempoh berpantang selepas 20 hari melahirkan bayi sulung.

Insiden itu berlaku gara-gara pelakon baharu, Afifah Nasir dikatakan mengganggu rumah tangga mereka dan dilihat berdua-duaan di sebuah pusat karaoke Taman Shamelin, Cheras, Kuala Lumpur.

Empat bulan berlalu, nampaknya cinta antara Aliff dan Bella terus mekar mewangi malah yang berlaku sebelum ini dijadikan pengalaman dan ujian berumah tangga.

Bertemu empat mata dengan Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah terlihat wajah kebahagiaan yang sedang dilalui dengan cinta hatinya itu. Enggan lagi terluka untuk kali kedua, wanita berusia 23 tahun itu mahu melupakan kejadian hitam itu dan tidak mahu lagi membangkitkan kembali hal tersebut.

“Saya sudah tidak mahu panjangkan lagi isu tersebut. Yang sudah lepas, biarlah berlalu pergi. Saya nak teruskan hidup dengan keluarga tanpa dihimpit dengan kisah yang kurang enak.

“Kalau boleh semua kisah di sebelah pihak sana, saya tak mahu ambil tahu lagi. Fokus saya ketika ini terarah kepada keluarga dan tak naklah ada aura negatif dalam hidup kami lagi,” pintanya.

Sementara itu, Bella turut mengulas mengenai tindakan Aliff yang memuat naik sebuah entri berserta paparan skrin di laman sosial Instagram miliknya pada awal bulan lalu yang meminta agar Afifah tidak mengeluarkan lagi sebarang kenyataan yang tidak benar kepada pihak media.

Mengakui terkejut dengan tindakan suaminya itu kata Bella:

“Saya tunjuk kenyataan pihak sana (Afifah) kepada Aliff. Saya akui dia agak marah apabila semua yang dikatakan itu adalah tidak benar. Tetapi tak sangkalah pula dia memuat naik status panjang lebar di Instagram.

“Saya yakin Aliff pada ketika itu sedang menahan marah sambil menaip status. Mungkin ada orang yang kaitkan kononnya saya yang suruh Aliff berbuat demikian tapi saya sendiri tak nak masuk campur. Biarlah orang nak kata apa pun.”


Cepat lupa selepas bersalin

Bergelar ibu pada usia muda sesungguhnya banyak menyedarkan Bella tentang pengorbanan orang tua yang membesarkannya selama ini. Malah ibu kepada bayi comel berusia empat bulan, Mohamad Ayden Adrean sehingga hari ini masih tidak dapat melupakan momen melahirkan anaknya.

“Bila masuk dalam wad bersalin, saya teruskan teringatkan ibu. Masa itu membayangkan pengorbanan seorang ibu yang bertarung nyawa melahirkan saya. Yang ibu lalui satu masa lalu itu turut saya rasai. Memang satu pengalaman yang indah,” kongsinya.

Lucunya, Bella sempat berseloroh memberitahu yang dia kini semakin cepat lupa selepas melahirkan anak pertama.

“Ya, perubahan paling besar sekali ialah saya mudah lupa. Mungkin ini kesan daripada bersalin rasanya. Nasib baik saya tak lupa Aliff! Tapi tak adalah serius dan boleh memudaratkan kesihatan,” ujarnya sambil ketawa.

Mendirikan rumah tangga pada usia muda juga tidak memberikan sebarang kesulitan buatnya. Bergelar isteri, ibu dan pengurus kepada suaminya kadangkala membuatkan jadualnya sibuk namun dia tetap mengutamakan keluarga terutama bayi sulungnya yang memerlukan perhatian dan kasih sayang.

“Saya memang sukakan kanak-kanak. Bila Ayden lahir kalau boleh memang tak nak tinggalkan dia di rumah.

“Lebih-lebih lagi dia pula merupakan cucu pertama bagi kedua-dua keluarga kami. Sudah tentulah ramai yang sayang, kan!

“Boleh dikatakan hari-hari saya dan Aliff akan buat panggilan video dengan keluarga di Singapura sebab mereka rindukan Ayden,” tuturnya sambil memberitahu sedang dalam perancangan untuk membuka sebuah perniagaan.

Post a Comment

Previous Post Next Post