Anzalna Nasir belum puas berbulan madu


Ujar Anzalna Nasir, dia tidak tertekan belum dikurniakan anak kerana usia perkahwinannya masih lagi baharu.

Baru setahun lebih melayari bahtera perkahwinan dengan suami, Hanif Zaki, pelakon dah usahawan jelita, Anzalna sering kali diajukan soalan berkenaan cahaya mata. Bagaimanapun bagi dirinya, dia tidak mahu terlalu runsing memikirkan tentang hal tersebut kerana percaya dengan rezeki Tuhan.

Anzalna atau nama sebenarnya, Nur Anzalna Md. Nasir yang ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan, Bye Bye Zits di Empire Medispa, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia masih belum puas menikmati fasa berbulan madu dan tidak mahu bersikap terburu-buru tentang soal anak.

Justeru, untuk merealisasikan impiannya bergelar ibu, pelakon drama Dendam Aurora itu ingin bercuti bersama suami ke Jepun pada penghujung tahun ini. Katanya, di sana nanti dia teringin bermain salji dan ski.

Dalam pada itu, Anzalna, 29, yang merupakan pengasas bersama produk Bye Bye Zits bercerita tentang masalah kulit yang dihadapinya selama beberapa bulan selepas pulang bercuti dari London, April lalu.

Dia mengakui terpaksa bersikap kedekut selepas mencuba pelbagai produk kecantikan yang akhirnya memberi kesan buruk terhadap kulit wajahnya. Penyelesaiannya, dia tidak lagi membazir wang untuk menggunakan produk yang mahal, sebaliknya mencari formula terbaik buat kegunaan dirinya sendiri.

Maaf bertanya, barangkali Anzalna sering diajukan soalan berkenaan anak, komen anda sendiri?

Saya rasa orang pun sudah jemu untuk bertanyakan soalan yang sama (anak), macamlah saya sudah berkahwin 10 tahun.

Buat masa sekarang, saya ingin berseronok menjalani kehidupan sebagai isteri kepada suami (Hanif). Jadi, selagi belum bergelar ibu, saya dan dia akan banyak menghabiskan masa mengembara ke seluruh dunia.

Kalau sudah menjadi ibu nanti, waktu bercuti semestinya akan terhad. Jadi, selagi punya masa lebih baik digunakan sepenuhnya.

Bermakna anda gembira dengan kehidupan sekarang?

Alhamdulillah, saya amat gembira dengan kehidupan sekarang (berkeluarga). Tiada apa untuk dipeningkan.

Boleh dikatakan sekarang anda gemar menghabiskan masa melancong?

Dari segi kerjaya lakonan pun, saya amat selektif. Kalau boleh setahun satu projek sahaja. Kehidupan sebagai seorang isteri membuatkan saya berfikir panjang untuk menerima tawaran berlakon.

Suami saya seorang usahawan dan kalau ada kelapangan, memang kami akan pergi melancong bersama. Penghujung tahun ini, kami merancang untuk bermain ski di Jepun.

Apa yang telah anda belajar tentang kontroversi menimpa adik (Afifah) yang sedikit sebanyak memberi kesan terhadap anda sebelum ini?

Saya malas nak fikir. Perkara sudah berlalu, biarlah dan ia sudah selesai. Buat masa sekarang, saya hanya ingin hidup bahagia.

Baiklah, anda mengalami masalah kulit wajah yang agak teruk sejak akhir-akhir ini, boleh ceritakan sedikit?

Kulit wajah saya dipenuhi jerawat dan menjadi semakin serius selama beberapa bulan sejak pulang bercuti dari London pada April lalu. Saya pula memang kedekut untuk membelanjakan wang membeli produk-produk yang mahal kerana semuanya memang tidak berkesan. Malah, pencuci muka saya berharga di bawah RM50.

Bagaimanapun, selepas menggunakan Bye Bye Zits, kulit wajah saya menjadi semakin okey. Oleh itu, saya ingin berkongsi ‘rahsia’ ini kepada peminat-peminat di luar sana. Bersama-sama rakan baik saya iaitu Adila dan Alia Ramly yang juga produser Global Station Sdn. Bhd., kami berkongsi modal selaku rakan niaga mengeluarkan produk penyembur muka yang diberi nama Bye Bye Zits.

Produk ini mencegah pembiakan bakteria yang menyebabkan masalah jerawat. Malah selamat digunakan kerana bebas bahan kimia berbahaya. Disebabkan terlalu selamat, cecair yang terdapat dalam produk tersebut boleh diminum begitu sahaja.

Saya dan Alia sendiri yang menjadi testimoni kepada produk ini. Alhamdulillah, sekarang tiada lagi masalah jerawat baharu cuma tinggal parut sahaja.

Post a Comment

Previous Post Next Post