Amira Othman ambil kelas lakonan


Tak dinafikan, penglibatan penyanyi yang sinonim menerusi lagu Hati-Hati, Amira Othman di dalam dunia lakonan telah memberi seribu satu reaksi tersendiri di kalangan netizen. Ada yang menyokong dan tidak kurang yang memberi maklum balas negatif terhadap kualiti lakonannya.

Bercakap mengenai perkara tersebut, Amira yang ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan antarabangsa, Salima Skin Solutions di Kuala Lumpur baru-baru ini menjelaskan, keputusannya untuk mengikuti kelas lakonan di bawah bimbingan aktor senior, Que Haidar menjadi inisiatif terbaik buatnya mengutip ilmu dan pengalaman dalam lakonan.

Katanya lagi, selain mahu mengasah bakat, ilmu lakonan yang diterimanya boleh dianggap sebagai satu kepuasan buat diri sendiri dan persediaan pada masa depan.

“Saya sendiri masih lagi baru dalam seni, khasnya dalam lakonan. Jadi bila ambil kelas lakonan, saya rasa lebih selesa. Kalau nak dibandingkan dengan dulu, mungkin ilmu itu belum cukup.

"Bagaimanapun, sekarang sudah ada pelakon senior yang saya boleh jadikan panduan dan boleh aplikasikan apa yang telah diajar, insya-ALLAH,” akui Amira yang turut menambah, dia cukup selesa berlakon di bawah produksi drama Red Velvet kerana setiap krew cukup menyokong dan memberi tunjuk ajar.

Sementara itu, Amira juga ada mengambil kelas vokal memandangkan keutamaannya kini dalam industri dalam nyanyian.


“Benar, meskipun saya kini sibuk di set penggambaran, keutamaan saya masih lagi pada nyanyian. Itulah cinta pertama yang tidak akan padam sampai bila-bila. Cuma lakonan saya anggap sebagai satu cabang seni baru yang cukup seronok untuk diteroka.

"Oleh sebab itulah, selepas drama Abang Bomba I Love You, saya agak senyap daripada menerima sebarang tawaran sebab saya belum ada keberanian untuk beraksi di depan lensa lagi pada waktu tersebut.

“Cuma bila sudah mengambil kelas lakonan, ngam-ngam dapat pula tawaran drama Red Velvet. Itulah yang dinamakan rezeki dan saya terimanya dengan hati terbuka,” jelas Amira yang tidak kisah mengenai pandangan sinis sesetengah netizen yang menganggap penglibatannya dalam dunia lakonan hanyalah sekadar ‘menempel’.

“Sejujurnya, saya tidak kisah kalau ada yang memberikan pandangan sedemikian sebab saya sedar, saya masih baru dan banyak yang perlu diperbaiki. Saya anggap setiap kritikan sebagai panduan untuk saya belajar dan cuba jadi lebih baik.

"Kalau orang tidak kritik, kita pasti tidak akan tahu mana kesilapan yang telah dilakukan. Saya ambil kelas lakonan pun demi kepuasan untuk mencabar diri sendiri bila di set penggambaran. Terima kasih juga buat peminat yang turut sama mengikuti perkembangan seni saya,” luahnya positif.

Post a Comment

Previous Post Next Post