Aiman Tino tak kisah!


Sejak dikenali dengan lagu Ku Rela Dibenci, penyanyi Aiman Tino terus mendapat tempat di hati peminat tetapi percubaannya menyanyi rap, dikecam komposer dan anggota VE, Damian Mikhail.

Melalui statusnya di laman sosial Facebook Ahad lalu, Damian mengecam nyanyian Aiman bersama kakaknya, Fara Hezel untuk lagu Terasa Cinta.

Penyanyi popular rap awal 2000 itu menyifatkan tindakan Aiman satu pencemaran dan penghinaan bagi industri muzik hiphop. Katanya, kalau Aiman menyanyi di depannya, dia akan ‘boo’.

Aiman, 19, ketika dihubungi Harian Metro tidak kisah dengan kecaman terhadapnya.

“Saya pendatang baru, hanya mahu mencuba. Sepatutnya sebagai orang lama, Damian ada cara lebih baik untuk mengkritik.

“Kalau cara saya tidak sesuai, boleh sahaja hubungi pengurus atau saya sendiri.

“Saya tidaklah bodoh sangat tak pandai rap, asas itu memang ada. Saya juga pernah menjayakan persembahan 'underground' menyanyikan lagu rap sebelum ini,” katanya.


Aiman menganggap tindakan Damian itu sebagai tidak profesional kerana menggalakkan lagi kecaman orang ramai di laman sosial.

Katanya, dia bukan mahu monopoli semua genre lagu kerana masing-masing ada peminat tersendiri.

“Saya harap mereka yang suka mengecam melihat isu ini dari sudut lebih positif.

“Mungkin ada peminat generasi saya tidak pernah mendengar genre muzik dimaksudkan sebelum ini.

“Tidak mustahil penyanyi baru seperti saya boleh membuka pintu kepada peminat untuk lebih mengenali muzik rap yang pernah popular suatu ketika dulu,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post