Selepas hampir sedekad menceburi dunia lakonan, Wan Raja, 39, sedar tawaran untuknya memegang watak hero kian berkurangan.
Biarpun mengaku tidak selesa dengan senario terbabit, suami kepada Yaya Maembong ini akur dan menerima kenyataan dirinya bukan lagi menjadi pilihan penerbit.
"Saya kena tengok cermin. Uban pun sudah tumbuh. Sekarang, mengikut aliran semasa, kita perlu mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial, selain muda dan kacak jika mahu menjadi pelakon utama. Saya kena terima kenyataan itu.
"Ketika ini, contohnya, saya diberikan peranan sebagai abang. Lima tahun lagi, mungkin saya akan pegang watak bapa pula. Namun begitu, saya tetap bersyukur dengan semua rezeki yang diberikan ini.
"Pada masa sama, saya berasakan diri ini masih bertuah kerana ada pihak yang nampak bakat saya untuk melakonkan watak berat dan mencabar," katanya yang kini sibuk melunaskan penggambaran drama, Matahari Cerah Lagi terbitan Global Station Sdn Bhd.
Ditanya mengenai keputusan isterinya mahu memperlahankan rentak lakonan kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan diusahakan adik-beradik, Wan Raja yang muncul dengan drama Airis bermula 5 Oktober lalu di saluran HyppTV, bersikap terbuka dalam hal itu.
Wan Raja atau nama sebenarnya Saiful Redzuan Abu Bakar juga tidak mempunyai masalah apabila anak sulung mereka, Seri Aileen, 17 bulan, turut diperkenalkan ke dunia seni sebagai pelakon.
"Sebagai suami, saya sentiasa menyokong apa saja keputusan dibuat oleh isteri. Mungkin juga dia hendak memberikan fokus kepada sesuatu yang dirasakan lebih penting.
"Tambahan pula, isteri kini hamil anak kedua. Dalam soal sebegini, saya tak pernah menghalang atau memaksa. Semuanya terpulang kepada dirinya, selagi dia tahu tanggungjawab yang dipikul.
"Saya juga tidak kisah kalau anak kecil saya nak berlakon. Cuma, awal-awal dulu, dia tak berapa kenal orang. Kini, dia sudah pandai berjalan dan susah nak dikawal. Selagi tidak menyusahkan dirinya, saya dan isteri bersikap terbuka dalam hal ini," katanya.
Pelakon filem Anu Dalam Botol dan Balun ini berkahwin dengan Yaya pada Disember 2014 dan mereka dijangka menimang cahaya mata kedua kira-kira empat bulan lagi.