Uqasha Senrose miliki ciri wanita idaman Hefny Sahad


Kemesraan hubungan Hefny dan Uqasha kini sudah berusia setahun. Setakat ini, hanya Hefny yang sudah bercerita tentang perasaannya terhadap Uqasha.

Dalam diam, hubungan yang terjalin antara pengacara, Mohamed Hefny Sahad dan pelakon cantik, Uqasha Senrose bakal mencecah usia setahun menjelang November ini.

Meskipun kedua-duanya tidak meletakkan sebarang label pada hubungan mereka, Hefny, 30, berkata memandangkan sudah setahun mengenal hati budi maka dia melihat sudah sampai masanya untuk mereka berbicara tentang fasa seterusnya bersama Uqasha.

Biarpun masih tiada rancangan khusus, namun Hefny baru menerima mandat sebagai pengacara separuh akhir program Muzik-Muzik itu tidak menafikan mereka berdua sudah semakin bersedia untuk lebih serius dalam perhubungan.

Sudah berkenalan sejak tiga tahun lalu iaitu sekitar hujung 2016, Hefny mengakui tidak lagi keluar bersama wanita lain selain Uqasha.

Menyifatkan kakak kepada Nelydia Senrose itu sebagai wanita paling istimewa di hati selain memiliki ciri-ciri idamannya, Hefny meminta agar semua pihak mendoakan yang baik-baik untuk mereka berdua.

KOSMO!: Uqasha pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak bercinta dengan anda. Apakah sebenarnya status perhubungan kalian?

HEFNY: Saya menghormati pendirian Uqasha yang tidak suka bercerita soal peribadi dan memang kami belum bercinta tetapi sedang mengenali hati budi masing-masing. Bulan hadapan genap setahun saya rapat dengannya jadi saya rasa mungkin sudah tiba masanya untuk membawa hubungan ini ke peringkat yang lebih serius. Saya seorang yang bersikap terbuka kerana tidak mahu orang salah anggap dan mereka-reka cerita yang bukan-bukan.

Sudah ada sebarang tarikh, maksudnya pertunangan, merisik atau mungkin perancangan tentang perkahwinan sudah ditentukan?

Tidaklah, itu semua terlalu cepat untuk dibincangkan. Namun kami ada bercakap tentang masa hadapan dan hal-hal yang disebut itu. Setakat ini masih belum ada sebarang keputusan yang tetap, cuma kami sudah mula terbuka bercakap tentangnya. Jika ada khabar gembira, pasti saya akan umumkan.

Setahun mengenali Uqasha, apakah yang istimewa tentangnya?

Saya terpikat dengan sifat manjanya tetapi pada masa sama dia seorang kakak yang bersikap pelindung terhadap adik-adiknya. Dia sebenarnya seorang yang sangat tegas jika melibatkan keluarga dan sukakan kehidupan berkeluarga. Bagi saya, itu ialah antara ciri-ciri wanita idaman yang saya impikan selama ini.

Anda sebagai lelaki yang rapat dengan Uqasha, adakah sukar menjalinkan hubungan dengan pelakon yang sering dihimpit kontroversi itu?

Saya akui ada masanya saya juga berasa cemburu terutama apabila timbul cerita dia mahu dipikat orang. Namun saya perlu bersabar kerana secara logiknya, kami belum ada ikatan yang sah. Cuma apa yang saya pentingkan dalam hubungan ini ialah ketelusan dan kejujuran. Uqasha seorang yang berterus-terang dan jika ada sebarang kontroversi, dia akan terus memberitahu saya. Jadi, saya boleh bertenang jika ada khabar angin atau gosip tentangnya kerana sudah tahu lebih awal.

Berbalik terhadap mandat baharu apabila anda ditugaskan mengacara peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 23 bersama Sheryy Al-Hadad, bagaimana perasaan anda saat terpilih mengendalikan program popular tersebut?

Saya melihat peluang ini sebagai satu pencapaian terbaik dalam bidang pengacaraan kerana Muzik-Muzik sebuah program yang cukup terkenal dan memiliki pengikut yang setia. Apabila saya ditawarkan mengacara peringkat separuh akhir, pada mulanya saya berdebar-debar kerana bimbang tidak dapat mengendalikan tanggungjawab sebaik-baiknya. Namun saya bernasib baik kerana digandingkan dengan Sherry AlHadad yang sudah mempunyai pengalaman mengacarakan majlis-majlis besar.

Adakah anda berdua juga akan mengacara pentas akhir Anugerah Juara Lagu tahun hadapan?

Setakat ini, saya cuma ditawarkan untuk peringkat separuh akhir dan ia sudah cukup besar buat saya. Jika ikutkan hati, pastinya saya amat berharap untuk dipilih tetapi itu semua bergantung kepada penganjur iaitu TV3.

Post a Comment

Previous Post Next Post